
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Akar umbi UMNO menuntut permohonan maaf DAP terhadap kata-kata pemimpin mereka sebelum ini yang mengguris hati, kata Dr Muhamad Akmal Saleh.
Ketua Pemuda UMNO itu mempersoalkan langkah DAP meminta maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini tetapi mengapa tidak mengambil langkah sama dengan meminta maaf juga kepada parti itu.
“DAP perlu membuktikan segala tohmahan pemikiran, cakap-cakap DAP anti-Melayu, anti-Islam, rasis, komunis ‘centrict’, tidak sama-sekali akan berlaku dalam kerajaan perpaduan.
“Kena jujur, kenapa dengan GPS (Gabungan Parti Sarawak) boleh buat, kenapa bukan dengan kita. Kalau betul-betul suci menjalinkan tali persahabatan, kita mohon DAP tarik balik segala tohmahan kepada Umno dulu. Tiada selindung lagi, kita kena jujur…inilah luahan hati akar umbi,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian sayap parti itu hari ini.
Jelasnya, permohonan maaf itu perlu dibuat jika DAP mahu melembutkan hati orang Melayu dan ahli-ahli UMNO.
“Kalau mahu hati orang (Melayu ) lembut, DAP perlu mohon maaf dengan tohmahan dibuat sebelum ini kepada UMNO,” katanya lagi.
Akmal juga menegaskan, meskipun UMNO dan DAP kini menjadi antara 19 komponen parti membentuk kerajaan perpaduan, terdapat “garisan” yang perlu dihormati.
Katanya, UMNO tidak sesekali akan menjadi DAP dan mengikut rentak parti itu.
“UMNO tidak akan sesekali menjadi DAP, dan kita tidak pernah minta DAP menjadi UMNO. Pemuda akan pastikan yang UMNO tidak akan menjadi DAP.
“Ini sumpah dan ikrar Pemuda, kita takkan sesekali berkompromi. Pemuda UMNO ingin tegaskan kita bersama kerajaan perpaduan atas faktor titah Agong untuk kestabilan negara.
“Kita berkongsi ruang pentadbiran, tetapi bukan ruang fahaman. Kita rentas politik kepartian, tapi kita sempadankan prinsip perjuangan. Kalau ada yang berani melintas, Pemuda UMNO yang pertama akan datang mencantas,” katanya lagi.