
Rafizi menjawab kepada Hassan berhubung isu kenaikan OPR.
Parti dalam kerajaan campuran dijangka tidak terkesan dengan isu kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyifatkan parti dalam kerajaan campuran masih kuat walaupun OPR yang dinaikkan bakal meningkatkan kos sara hidup rakyat, malah mendakwa ia langkah tersebut bertujuan memperkasakan ekonomi negara.
“Setakat ini, saya tak nampak (isu OPR) menjejaskan Kerajaan Perpaduan. Sama juga seperti sebelum ini orang kaitkan dengan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).
“Ada banyak kesan yang mempengaruhi undian rakyat, bukan semata-mata isu OPR ini. Lagipun, yang betul-betul terkesan dengan kenaikan (OPR) ini adalah orang yang ada pinjaman rumah.
“Bukan semua rakyat ada pinjaman rumah sekarang,” katanya dipetik laporan BH.
Sebelum ini Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa Rafizi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi penjelasan kepada rakyat berhubung kenaikan OPR bagi mengelakkan rakyat terutama di enam negeri yang bakal berlangsung PRN hilang kepercayaan kepada kerajaan.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan tekad untuk memacu semula ekonomi negara semata-mata untuk memancing undian pada PRN nanti.
“Keputusan membabitkan kedudukan ekonomi negara ini bersifat jangka panjang. Apabila kita (Malaysia) dah ada jurang yang besar dari segi kadar faedah dengan negara lain, itu bukan sesuatu yang boleh dibuat sebagaimana cadangan Ahli Parlimen Pasir Gudang untuk dapatkan undi rakyat.
“Kita akan cuba dapatkan undi ke negeri termasuk Kedah, Terengganu, Selangor dan sebagainya, tetapi ia tidak boleh sehingga menjejaskan usaha untuk memulih dan memperkasakan ekonomi,” katanya lagi.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut menasihatkan Hassan supaya tidak terikut-ikut dengan sentimen yang kerap dimainkan pembangkang.
Katanya, sebagai wakil rakyat daripada blok kerajaan, adalah lebih baik beliau merujuk terus kepada Perdana Menteri atau beliau sendiri untuk mendapatkan penjelasan.
“Kami (Anwar dan saya) sebenarnya telah pun memberikan penjelasan kepada dia. Saya ingat dia tidak akan keluarkanlah kenyataan selepas itu. Tetapi itu hak dia dan tentu sahaja media akan mainkan isu ini.
“Saya dah berikan penjelasan yang panjang lebar kepada Hassan mengenainya. Itu pilihan politik beliau untuk bercakap kepada media.
“Sebab saya yakin dalam sedikit masa, beberapa bulan akan datang atau setahun lagi, apabila kayu ukur terutama inflasi makin kurang, apabila kita mula tumpu kepada dasar untuk umpamanya sasaran kenaikan gaji, rakyat keseluruhannya akan faham,” katanya.