Kenaikan harga barang bakal dorong UMNO desak PRU lebih awal

May 22, 2022 · Politik

Rasa tidak puas hati orang ramai berhubung kenaikan harga barangan pengguna boleh mendorong UMNO berusaha lebih keras untuk mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal, menurut pendapat beberapa penganalisis politik.

Menurut mereka keadaan ketika ini membolehkan bekas parti pemerintah itu menafikan sebarang tanggungjawab terhadap kos sara hidup negara yang melonjak sejak pandemik Covid-19 dan mendakwa ia memerlukan mandat baharu yang kuat untuk menangani isu itu.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Azmi Hassan, berkata UMNO boleh mendakwa, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada parti itu, kuasanya masih tersekat kerana perlu bergantung kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS untuk mengekalkan kerajaannya.

“Naratif ini sangat kuat dan berkesan memandangkan keadaan pembangkang berada pada kemerosotan yang sangat rendah sekarang.

“Dengan menggabungkan dua naratif iaitu kedudukan perdana menteri yang lemah, peningkatan kos segala-galanya dan ketidakupayaan untuk membentuk dasar dalam kerajaan, UMNO berasa sekarang adalah masa terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) daripada menunggu sehingga tahun depan,” kata Azmi seperti dilapor MalayMail.

Setelah ditolak pada PRU 2018, UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah bangkit dan menyaksikan kejayaan dalam tiga pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini termasuk Melaka dan Johor yang dimenangi bekas parti pemerintah itu apabila bertanding solo.

Kejayaan ini mendorong UMNO untuk mendesak PRU mengejut diadakan walaupun tempoh penggal Parlimen akan berakhir tahun depan, berdasarkan kepercayaan bahawa ia boleh meyakinkan pengundi untuk memberi mandat kuat bagi mengembalikan dasar yang mereka nikmati sebelum ini di bawah pemerintahan BN selama beberapa dekad.

Bagaimanapun, Azmi berkata peluang untuk UMNO dan BN tertutup susulan kemerosotan ekonomi yang berlanjutan yang mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap parti itu yang menjadi sebahagian daripada kerajaan hari ini.

“Apa pun alasannya, bagi UMNO adalah baik untuk pilihan raya diadakan dalam beberapa bulan akan datang, bukan tahun depan kerana keadaan akan berubah dengan pantas menjelang tahun depan.

“Ekonomi mungkin berada dalam keadaan yang teruk dan pembangkang juga boleh membentuk pakatan sendiri,” katanya.

Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat sederhana sebanyak 2.2 peratus kepada 125.2 pada Februari 2022 daripada 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, didorong terutamanya oleh peningkatan inflasi makanan, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia pada Mac.

Ketua perangkaan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan itu melepasi purata inflasi di Malaysia bagi tempoh 2011 hingga Februari 2022 sebanyak 1.9 peratus.

Beliau berkata peningkatan 3.7 peratus dalam kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan dalam komponen untuk makanan di rumah yang naik 4.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, sambil menambah bahawa peningkatan itu adalah terutamanya untuk bahan mentah, bahan masakan seperti ayam (14.2 peratus) dan telur (13.5 peratus).

Komoditi global mengalami satu lagi kejutan besar tahun ini akibat pencerobohan Russia ke atas Ukraine. Konflik itu telah menjejaskan pasaran gandum antarabangsa dengan teruk, kerana kedua-dua negara adalah negara ‘bakul roti’.

Kekurangan gandum diburukkan lagi oleh keputusan India minggu lalu untuk mengharamkan eksport produk gandum akibat kekurangan bekalan dan inflasinya sendiri.

Profesor Sains Politik Universiti Sains Malaysia Ahmad Fauzi Abdul Hamid pula berkata perkembangan itu bermakna UMNO akan mempunyai lebih motivasi untuk mendesak PRU diadakan, sebaik sahaja Memorandum Persefahaman mengenai Transformasi dan Kestabilan Politik tamat pada Julai.

Ditanya sama ada kenaikan harga di seluruh dunia akan memaksa UMNO untuk menentukan masa PRU, Fauzi berkata UMNO akan mendapat sedikit sahaja keuntungan sebagai parti jika menunggu lebih lama kerana ianya hanya akan memberi masa kepada pembangkang untuk pulih.

Fauzi berpendapat mungkin cukup bagi UMNO untuk meletakkan kesalahan kenaikan harga barangan sekarang kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan mendakwa menteri-menteri di dalam gabungan itu gagal bertindak.

“Sebagai contoh, (Datuk Seri) Azmin Ali, (Datuk Seri) Mustapa Mohamad dan (Datuk Seri) Tengku Zafrul (Abdul Aziz) adalah menteri bukan BN yang portfolionya berurusan secara signifikan dengan ekonomi. Apakah yang telah mereka lakukan untuk mengurangkan penderitaan ekonomi rakyat bawahan?,” katanya.

Felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berkata UMNO juga bersemangat untuk mengekalkan momentumnya ketika mencapai kemenangan besar pada PRN Melaka dan Johor.

Oh berkata walaupun Ismail Sabri mungkin lebih suka menangguhkan PRU untuk mencuba dan mengukuhkan kedudukannya, UMNO akan berhati-hati memberi masa kepada pesaingnya untuk membuat persiapan.

“Kini politik sangat bergelora, dan anda tidak pernah tahu apa yang akan berlaku walaupun dalam masa beberapa hari.

“Jadi, sementara pembangkang masih lemah, kenapa tidak menggunakan seterika ketika ia masih panas, dan lenturkan mengikut kehendak anda?” katanya.

Kenaikan harga makanan semakin mendominasi wacana awam kerana gangguan bekalan yang tidak dapat diselesaikan sejak pandemik Covid-19 sekali gus menyebabkan kenaikan berulang dan menyakitkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Kenaikan harga barang itu, memaksa kerajaan Ismail Sabri minggu ini untuk mengumumkan pemansuhan permit kelulusan (AP) sebagai keperluan untuk import makanan kecuali beras.

Kerajaan juga membayangkan penarikan subsidi bahan api menyeluruh untuk RON95, yang menelan belanja berbilion ringgit setiap tahun untuk mengekalkannya pada harga siling RM2.05/L. Secara perbandingan, RON97 tanpa subsidi meningkat kepada RM4.33/L minggu ini.

Berita berkaitan
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
3 jam lalu· Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024· Politik
Popular
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024
Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu
April 22, 2024
Tular “istana” Tajuddin yang sedang diubahsuai selepas pemecatan
May 27, 2021
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024
Lagi Politik terkini
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024 · Politik
Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu
April 22, 2024 · Politik
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024 · Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024 · Politik
Pengapungan harga petrol dijangka beri tekanan kepada rakyat, kata Bersatu
April 18, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok