Kena kerusi UMNO sikit baharu aman, politik stabil: Sanusi

Satu-satunya formula untuk memastikan kestabilan politik negara dan seluruh negeri adalah dengan memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi sedikit sahaja kerusi, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu berkata sekiranya banyak kerusi yang dimenangi UMNO maka negara dan pentadbiran kerajaan negeri akan menjadi tidak stabil kerana mereka sibuk berebut kuasa dan boleh sesuka hati mengadakan pilihan raya seperti yang berlaku di Melaka dan Johor tanpa mengambilkira kesusahan rakyat.

“Formula mudah untuk melihat kestabilan politik di Malaysia dan di negeri-negeri seluruh negara…Formulanya ialah bila kerusi UMNO kurang, sangat-sangat kurang sehingga kalau dia (UMNO) tarik diri pun kerajaan tak tumbang itu lah formula mewujudkan kestabilan politik di Malaysia.

“Formulanya ialah dan saya sedar bila saya datang ke Johor ini… Kena kerusi UMNO sikit baharu aman kalau banyak kacau.

“Tuan-tuan tengok di Melaka, banyak kerusi dia (UMNO)… Akhirnya, dia das kawan dia sendiri (tumbangkan kerajaan sendiri) sehingga tumbang kerajaan Melaka.

“Kerusi dia (UMNO) disini Johor banyak juga, tumbang kerajaan negeri apabila dia (UMNO) sendiri tumbangkan buat PRN (Pilihan Raya Negeri) disaat rakyat kesusahan,” katanya semasa pelancaran jentera Pemuda Perikatan Nasional di Batu Pahat malam tadi.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah itu menegaskan langkah mengadakan PRN Johor tidak diperlukan walhal diperingkat kerajaan pusat, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh mengadakan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) dengan pembangkang untuk mewujudkan kestabilan politik.

“PRN tidak diperlukan, diperingkat pusat UMNO memimpin boleh buat pula CSA dengan pembangkang.

“Tandatangan perjanjian dengan pembangkang, boleh… Pasal apa di Johor tidak boleh? Kerana di Johor bukan untuk mewujudkan kestabilan tapi tujuan PRN Johor adalah untuk menambah kerusi UMNO dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya lagi.

Menurut Sanusi, apabila UMNO memenangi banyak kerusi mereka boleh membuat keputusan sesuka hati mereka.

“Bila banyak kerusi, dia (UMNO) boleh tendang orang lain keluar… Itu sahaja,” katanya lagi.

Di negeri yang banyak kerusi UMNO sahaja menyaksikan mereka sewenang-wenangnya boleh mengadakan PRN tanpa mengambil kira kesusahan dan kesempitan hidup rakyat, kata Sanusi dengan memberikan contoh di Kedah, Kelantan dan Terengganu dimana UMNO hanya memiliki kerusi minoriti tetapi tiada kerajaan dijatuhkan.

Jelas Sanusi, walaupun UMNO cuba menarik sokongan dan bertindak memutuskan hubungan sekalipun, namun kerajaan negeri di tiga negeri tersebut tidak tumbang dan pentadbiran berjalan seperti biasa tanpa perlu sebarang PRN diadakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac.

BERITA BERKAIT
POPULAR