Kemurahan hati Muhyiddin calonkan individu dari parti yang jatuhkannya

Bagaimana Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh mencadangkan individu dari parti yang menjadi punca beliau meletakan jawatan Perdana Menteri (PM) dan kerajaannya tumbang, persoalan tersebut bermain dalam fikiran pegawai kanannya, Datuk Dr Marzuki Mohamad.

Namun itulah hakikatnya apabila melihat sisi jauh pada diri lelaki ini yang tegas dengan prinsip menegakkan undang-undang dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Menceritakan bagaimana tenang dan tegas pendirian Muhyiddin sehari sebelum peletakan jawatan sebagai PM Malaysia, Dr Marzuki yang juga Ketua Setiausaha Sulit kepada PM berkata beliau ke rumah Muhyiddin untuk mengemas beberapa dokumen.

“Beliau sedang minum pagi bersama Puan Sri dan mengajak saya turut serta. Selepas mengemas beberapa dokumen beliau memberitahu saya ramai yang menghantar pesanan meminta beliau tidak meletak jawatan.

“Namun beliau menjawab saya telah hilang majoriti, bagaimana saya boleh kekal lagi?,” kata Dr Marzuki.

Menurut Dr Marzuki beliau juga menyetujui peletakan jawatan Muhyiddin berdasarkan ketetapan di dalam Perlembagaan Negara apabila seseorang itu hilang majoriti, dan itulah yang sepatutnya dilakukan.

Muhyiddin kemudian berpindah ke tajuk lain.

“Beliau bertanya kepada saya siapa yang akan menggantikannya sambil meneruskan bahawa Perikatan Nasional mesti mempunyai calon Perdana Menteri.

“Dalam nafas dan nada sama beliau memberitahu beliau tiada masalah sekiranya (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) dipilih sebagai calon Perdana Menteri,” kata Dr Marzuki.

Kenyataan itu mengejutkan beliau.

“Bagaimana lelaki ini boleh mencadangkan individu dari parti yang baharu sahaja menjatuhkannya daripada kedudukan yang paling diinginkan itu?,” kata Dr Marzuki yang menjelaskan beliau serta Muhyiddin berhujah sedikit mengenai perkara itu, namun PM sudah membuat keputusan yang beliau percaya adalah sesuatu yang betul.

Beliau berkata alasan Muhyiddin mudah dan realistik.

“Jika beliau tidak menyokong calon Perdana Menteri, tidak ada sesiapa yang akan mendapat majoriti… dan negara akan berada dalam kemelut politik selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan.

“Selepas itu apa yang ditanya kepada saya hanya sama ada tindakannya itu berperlembagaan dan saya memberitahunya ia mengikut Perlembagaan,” kata Dr Marzuki lagi sambil menjelaskan Muhyiddin kemudian mengarahkannya menghubungi Ismail Sabri untuk pertemuan pada jam 11 pagi.

Muhyiddin mengadakan perjumpaan dengan Ahli Parlimen Bersatu pada jam 9 pagi dan sebelum menghadiri mesyuarat itu beliau bertanya sekali lagi kepada Dr Marzuki sama ada tindakan untuk meletak jawatan itu adalah mengikut Perlembagaan.

“Ketika beliau bergerak untuk menghadiri mesyuarat itu, saya kebingungan memikirkan perbualan dengan Tan Sri sebentar tadi.

“Saya hanya melihat kebenaran dan kemurahan hatinya,” kata Dr Marzuki.

Pada 16 Ogos, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai PM dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta.

BERITA BERKAIT
POPULAR