Keluar parti jadi MP Bebas kemudian sertai parti lain ditafsir lompat parti?

Banyak perkara perlu diteliti berhubung ‘lompat parti’ sebelum Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Antilompat Parti dibentangkan di Dewan Rakyat yang dijadual bersidang pada 11 April depan.

Ini termasuk definisi dan istilah ‘lompat parti’ itu sendiri yang boleh mencetuskan kekeliruan, jika tidak diperhalusi sebelum pindaan kepada Perlembagaan dilakukan, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Memberi contoh, beliau bertanya adakah seseorang Ahli Parlimen (MP) yang keluar parti dan menjadi MP Bebas, kemudian menyertai parti lain, akan dianggap melompat parti.

“(Oleh itu) ada banyak lagi benda perlu dibincang untuk buat pindaan ini dan menteri (undang-undang) yang akan bawa (RUU anti lompat parti) perlu adakan libat urus supaya benda itu jelas.

“Pertama sekali, kena pinda perlembagaan Persekutuan kemudian di peringkat negeri, ia perlu diteliti kerana definisi lompat parti tu sendiri pun tak jelas kadang-kadang… undang-undang tak mengelirukan mana-mana pihak,” katanya memetik laporan BH hari ini.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengingatkan bahawa RUU antilompat parti itu perlu melalui proses kajian yang teliti, terutama isu teknikal bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan, sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, istilah lompat parti itu sendiri perlu difahami terutama berkaitan dengan dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Zuraida Kamaruddin yang dikatakan akan keluar dari parti itu bulan depan.

Takiyuddin berkata, sesuatu pindaan kepada Perlembagaan itu bukan perkara mudah malah memberi contoh terhadap isu yang sama berlaku di Kelantan sebelum ini.

“Dalam kes ini, adakah Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas itu dianggap ahli parti contohnya dia masuk parti lain, adakah itu dipanggil lompat parti?

“Kalau tahun 90-an dulu Kelantan adalah negeri pertama yang membuat pindaan kepada Perlembagaan Negeri berkaitan antilompat parti kerana pernah ada kes ADUN yang melompat parti dianggap langgar undang-undang dan perlu mengosongkan kerusi.

“Tapi mahkamah mengatakan bahawa undang-undang seumpama itu bercanggah dengan Perlembagaan kerana melanggar peruntukan yang berkaitan dengan kebebasan untuk berpersatuan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR