
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.
Selepas mengumumkan keputusan keluar Bersatu baru-baru ini, Datuk Zuraida Kamaruddin memberi alasan tidak dapat menyerlahkan potensi sebenarnya bersama parti tersebut.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata selaku ahli politik berpengalaman dan mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan, sepatutnya mereka diberikan peluang untuk menonjolkan diri dan membuktikan kemampuan untuk mengembangkan bakat terpendam.
“Kami seolah-olah dipinggirkan dan potensi sebenar tidak dapat diserlah yang akhirnya merupakan kerugian untuk Bersatu,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Dalam menolak dakwaan beliau menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) ketika masih bersama Bersatu, Zuraida meminta pejabat setiausaha agung mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaan itu.
“Perhubungan, aktiviti dan pergerakan saya di luar kapasiti politik bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan, Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara (PKN) yang saya tubuhkan seawal 2018 bagi mengeratkan hubungan saya dengan komuniti di seluruh negara dan perkara itu tidak boleh dijadikan asas kepada tuduhan ini.
“Keputusan majoriti pimpinan PKR untuk menyertai PBM tidak wajar dipalitkan secara langsung ke atas diri saya,” katanya.
Zuraida turut menafikan dirinya ahli Bersatu yang bermasalah dan menyertai PBM, serta mempertahankan dirinya daripada tuduhan menyertai PBM ketika masih menjadi ahli parti itu.
“Dalam perbincangan saya bersama presiden (Muhyiddin), saya telah maklumkan idea penubuhan parti baharu yang bersifat berbilang kaum untuk memberi nilai tambah dan bersifat sebagai subsidiari kepada Bersatu dalam menambat segmen pengundi berbilang bangsa yang tidak dapat dirangkul oleh Bersatu.
“Hal ini akan menambah sokongan kepada Bersatu berdasarkan latar belakang kami yang terdiri daripada penjawat jawatan tertinggi dalam sebuah parti berbilang bangsa sebelum ini yang telah memenangi majoriti kerusi Parlimen di seluruh negara dalam pilihan raya umum lalu.
“Ini kerana latar belakang kami dengan sokongan akar umbi yang berjumlah 400,000 orang pada waktu itu pastinya menguntungkan Bersatu,” katanya lagi.
Khamis lalu, Zuraida mengumumkan hasrat melepaskan jawatan menteri perusahaan perladangan dan komoditi, selepas meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM.