
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Isu lambang yang akan digunakan semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) bukan suatu perkara yang perlu diperbesarkan, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pengarah Pilihanraya PAS Pusat itu berkata berkemungkinan akan menggunakan lambang asal dan juga Perikatan Nasional (PN) semasa kempen nanti mengikut kesesuaian negeri parti itu bertanding.
“Sebelum ini ada pandangan kita guna logo PN seperti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan kemudian di Johor, tetapi kali ini perlu ada perbincangan lagi untuk kita putuskan logo akan digunakan.
“Semalam saya ada di Kelantan, dan PAS Kelantan berpandangan lebih sesuai guna logo PAS dan negeri lain mungkin boleh guna logo PN. Logo ada rahsianya kerana ia boleh melambangkan kita dalam pakatan yang memberi kesan keyakinan rakyat.
“Begitu juga jika PAS guna logo gambar sendiri, ia turut memberi kesan psikologi. Pada saya dua-dua boleh digunakan, namun bergantung kepada perbincangan lanjut,” katanya dipetik laporan BH.
Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin memberi bayangan berkemungkinan parti itu menggunakan logo imej bulan berikutan dakwaan pengundi menjadi keliru ketika ia digunakan pada PRN Melaka dan Johor kerana menyangka ia logo Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya menegaskan PAS masih menggunakan logo PN dan cadangan Hashim adalah pandangan peribadi beliau.
Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Hadi kelmarin, yang berpendapat PRU-15 perlu disegerakan, Muhammad Sanusi berkata, pilihan raya boleh dipercepat sekiranya semua persediaan melaksanakannya sudah disiapkan semua pihak.
“Untuk buat PRU-15 semua pihak kena sedia. Pilihan raya kali ini akan ada pertambahan pengundi yang banyak, malah ada undi 18 tahun. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bersedia termasuk menyiapkan semua pusat mengundi.
“Bagi parti pula, saya rasa semua sudah bersedia sebelum ini cuma keadaan tidak mengizinkan apabila kita berhadapan pandemik COVID-19. PAS sendiri sudah bersedia dan kita yakin akan menang,” katanya lagi.