
Langkah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dilihat pincang apabila gagal menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, sebaliknya membawa padah kepada UMNO dan beliau sendiri.
Selepas digugurkan daripada pentadbiran kerajaan negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan UMNO tidak mengiiktiraf lantikan portfolio menteri baharu termasuk Timbalan Ketua Menteri.
Pengerusi UMNO-Barisan Nasional (BN) Sabah itu mendakwa lantikan yang diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tersebut tidak mewakili UMNO dan membelakangkan parti.
“Pelantikan kabinet baharu melibatkan dua ADUN UMNO ini tidak mewakili parti, dan kita tidak membuat sebarang pengiktirafan berkenaannya.
“Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga tidak boleh mengatakan atau mengiktiraf mereka ini mewakili UMNO dalam barisan kabinetnya, “katanya dalam satu kenyataan.
Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu berkata UMNO Sabah akan membawa perkara itu kepada Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk diambil tindakan susulan perkembangan terbaharu kemelut politik di Sabah itu.
“Kita akan berbincang dengan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengambil sebarang tindakan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu, Hajiji mengumumkan rombakan dalam Kabinetnya apabila melantik Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat) sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah yang baharu manakala Datuk James Ratib (Sugut) dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
Kedua-dua termasuk tiga lagi ADUN UMNO lain sebelum ini tidak menyertai gerakan Pengerusi BN Sabah untuk menarik sokongan Ketua Menteri dan menyokong Hajiji.
Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa dengan adanya kabinet baharu itu, Ketua Menteri sekaligus memperlihatkan sikap membelakangkan pandangan Perdana Menteri untuk menubuhkan satu kerajaan perpaduan
“Ketua Menteri nampaknya membelakangkan pandangan Perdana Menteri (PM) untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Sabah, perlu diingat pembentukan kerajaan pusat, BN merupakan penyumbang kepada kerajaan Perpaduan.
“Saya juga berharap Ketua Menteri bersikap adil dengan rakan-rakan dalam kabinet tanpa melibatkan campur tangan secara langsung dalam pentadbiran Kementerian masing masing.
“Jangan hanya mengaut keuntungan dan rakyat diabaikan, buatlah perubahan untuk rakyat dan negeri Sabah,” katanya.
UMNO Sabah bersedia utk menjadi pembangkang dan kita akan memainkan peranan secara berkesan.