
Presiden Parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. -Foto kredit Twitter
Seorang wakil rakyat UMNO di Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan Presiden Parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai seorang yang ‘hipokrit’ dan tidak berpendirian apabila menarik balik kecamannya terhadap wakil rakyat PKR baru-baru ini.
Ahli Undangan Dewan Negeri (ADUN) Layang-Layang itu membidas Syed Saddiq selepas membuat permohonan maaf kepada ADUN PKR (Tiram), Gopalakrishnan Subramaniam dengan mendakwanya tidak membuat kerja di kawasan.
“Tahniah. Ini contoh terbaik hipokrasi politik. Bila tersalah tembak kawan sendiri terus minta maaf.
“Sebelum ini, berdegar-degar sembang pasal integriti, prinsip, ketelusan, berani kerana benar, jalan tegak, bangkit dan sebagainya.
“Semuanya sandiwara Oscar yang dimainkan untuk mengaburi mata rakyat,” kata Onn dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Semalam Syed Saddiq menyatakan permohonan maaf berhubung kenyataannya yang mengkritik Gopalakrishnan itu selepas menerima kecaman daripada pemimpin PKR sendiri yang tidak berpuas hati dengan kecaman sedemikian.
“Muda sendiri tidak sempurna. Termasuk saya.
“Saya akui posting lawatan saya ke Ulu Tiram telah merendahkan tugas yang dibuat rakan ADUN dari PKR.
“Atas semangat kebersamaan bersama rakan PKR, saya memohon maaf atas kekhilafan dibuat,” kata bekas menteri itu.
Syed Saddiq merujuk kenyataannya sebelum itu yang menyorot aduan yang didakwa diterimanya daripada penduduk Ulu Tiram yang tidak berpuas hati dengan wakil rakyat mereka.
Onn Hafiz berkata tindakan Syed Saddiq itu sebagai “pilih bulu”.
“Macam mana nak bangkit dengan hipokrasi, penipuan, pilih bulu dan fitnah?
“Rakyat Johor dah lama buka mata. Cukup-cukuplah nak cuba perdayakan anak anak muda,” katanya lagi.
Untuk rekod, MUDA juga ketika ini sedang berunding pembahagian kerusi dengan PKR bagi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.