‘Keabsahan kerajaan baru boleh dipertikai, rakyat nak tahu jumlah sokongan’

Kerajaan baharu yang akan dibentuk menggantikan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan berdepan isu keabsahan kerana sehingga kini tidak ada Ahli Parlimen (MP) lain yang mampu memiliki sokongan melepasi had majoriti mudah untuk menjadi Perdana Menteri (PM) dan membentuk barisan Kabinetnya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nasrudin Hassan berkata rakyat tahu bahawa selain PM Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak ada MP yang mampu memiliki sokongan melepasi had majoriti mudah itu.

“Kita semua tahu, sehingga kini, selain YAB Perdana Menteri yang masih ada sekarang, masih belum ada Ahli Parlimen yang mampu miliki sokongan melepasi had simple majoriti untuk menjadi Perdana Menteri dan membentuk Kabinetnya.

“Ataupun, dalam situasi margin yang kecil begini, kalaupun naik kerajaan yang baharu, kerajaan baharu itu pula akan berdepan dengan situasi serupa pada hari ini. Dipersoal sokongan majoritinya dan dipertikai pula keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

“Persoalannya, sampai bila negara ini akan damai dari konflik yang merugikan kemakmuran negara, kesejahteraan rakyat dan menjejaskan pula ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, jika dilihat dari sudut parti politik, bukannya secara individu, jumlah yang menolak kepimpinan Muhyiddin sebanyak 120 MP. Namun perlu diingat bahawa daripada 120 MP itu masing-masing tidak menyokong antara satu sama lain.

Anwar Ibrahim mempunyai sokongan 91 kerusi, Zahid Hamidi mendapat dukungan 15 MP UMNO, manakala kem Dr Mahathir Mohamad dikatakan mempunyai 14 kerusi. Ketiga-tiga kumpulan ini tidak menyokong antara satu sama lain.

Yang kekal menyokong Muhyiddin pula sebanyak 100 MP.

Diandaikan Muhyiddin meletak jawatan dan PM baharu dilantik, maka keabsahan PM baharu itu juga boleh dipertikaikan kerana sebelum ini pembangkang telah mempertikaikan keabsahan Muhyiddin sebagai PM.

Jadi, PM baharu itu mesti berani membawa usul undi percaya terhadapnya di Parlimen untuk membuktikan dia memperoleh sekurang-kurangnya 111 sokongan MP.

Perkara itu mesti dilakukan kerana rakyat juga mahu melihat keabsahan PM baharu itu, sama ada betul atau tidak PM baharu yang akan dilantik itu nanti ada majoriti di Parlimen.

Mengulas lanjut, Nasrudin menggesa diadakan gencatan politik dan semua pihak bersabar sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan bagi membolehkan rakyat membuat pilihan baharu.

“Marilah kita bekerjasama. Apalah salahnya sesekali dalam sejarah politik negara, kita adakan GENCATAN POLITIK untuk semua pihak bersatu membantu kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 ini serta mengusahakan projek vaksinasi yang sedang giat berjalan ini sehingga capai 80% ke atas,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Temerloh itu percaya masih ada ahli politik yang ikhlas dan mahu melunaskan objektif menjadi seorang pemimpin politik yang bukan sahaja bertanggungjawab tetapi bertakwa kepada Allah SWT.

“Tempoh wajib diadakan pilihan raya pun sudah tidak lama. Elok sangat masa yang ada ini, kita bersatu dan fokus menyelesaikan isu Covid dan pemulihan ekonomi.

“Saya fikir, gerakan untuk menukar kerajaan atau mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan amatlah tidak sesuai pada masa ini. Selain ianya melarikan fokus pada menangani Covid, ia juga tidak menyelesaikan masalah,” katanya.

“Mungkin pihak yang lebih disegani seperti KDYMM SPB Yang Dipertuan Agong boleh menjadi mediator lalu memanggil semua pemimpin politik khasnya yang beragama Islam duduk berbincang mencari penyelesaian demi masa depan Islam sebagai agama Persekutuan, negara yang berdaulat dan rakyat yang harmoni,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR