Kami mahu EGM diadakan pilih Ketua AMK baharu, kata kumpulan AMK pro-Farhash

Perpecahan dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Pergolakan dalaman sayap pemuda PKR, Angkatan Muda Keadilan (AMK) semakin parah, terbaharu ketua-ketua cabang AMK Selangor mendesak supaya diadakan Kongres AMK Luarbiasa (EGM) bagi memilih semula Ketua baharu menggantikan Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Akmal Nasir yang berada dalam kem Rafizi Ramli berdepan kecaman susulan tindakan pemecatan Ketua AMK Selangor, Najwan Halimi dan Ketua AMK Perlis, Nor Azam Karap baru-baru ini.

“Kami mewakili majoriti ketua-ketua AMK Cabang dalam negeri Selangor dengan ini menolak pelantikan Ketua AMK Selangor yang baharu dan secara sebulat suara memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Akmal Nasrullah Mohd Nasir selaku Ketua AMK Malaysia.

“Kami juga menuntut agar diadakan Kongres AMK Luarbiasa (EGM) bagi memilih semula Ketua AMK Malaysia yang baharu,” kata kenyataan bersama Ketua-Ketua AMK Negeri Selangor hari ini.

Dalam kenyataan bersama 13 Ketua-Ketua Cabang AMK Selangor itu juga menolak pelantikan baharu Ketua AMK Selangor, Chua Wei Kiat yang diumumkan oleh Akmal Nasir.

Kumpulan itu mendakwa lantikan tersebut dibuat tanpa mendapat sokongan majoriti, ia selepas dikatakan pemilihan itu dibuat dalam satu mesyuarat atas talian melibatkan 18 orang ketua cabang AMK.

“Kami merujuk kepada kenyataan media oleh Setiausaha AMK Malaysia, Syukri Razab bertarikh 30 Jun 2021 berkaitan pertemuan secara maya bagi membincangkan pemilihan Ketua AMK Negeri Selangor yang baharu.

“Perlu dijelaskan bahawa kenyataan Setiausaha AMK Malaysia berhubung jumlah kehadiran ketua-ketua AMK Cabang seramai 18 orang adalah tidak benar dan bersifat mengelirukan,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, jumlah Ketua-ketua AMK Cabang dalam Negeri Selangor yang menyertai pertemuan secara maya pada 29 Jun 2021 adalah hanya 15 orang sahaja iaitu dari cabang Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, Bangi, Tanjong Karang, Kapar, Hulu Selangor, Kota Raja, Petaling Jaya, Selayang, Sabak Bernam, Shah Alam, Pandan, Sungai Buloh dan Sepang.

Sementara, enam ketua AMK cabang tidak menyertai pertemuan secara maya tersebut iaitu cabang Puchong, Klang, Damansara, Kuala Selangor, Ampang dan Subang. Untuk rekod, Ketua AMK Cabang Sungai Besar pula telah melepaskan jawatan beberapa minggu yang lalu.

Susulan itu, kumpulan itu sekaligus menegaskan lantikan terbaharu Ketua AMK Selangor yang diputuskan oleh Akmal Nasir tidak mendapat majoriti.

“Secara kolektif, semua Ketua-ketua AMK Cabang mencadangkan kepada Ketua AMK Malaysia agar Ketua AMK Negeri yang baharu dipilih dari kalangan mereka yang memiliki sokongan majoriti,” katanya lagi.

Sebelum ini, Agenda Daily melaporkan Rafizi mendedahkan kartel baharu dalam PKR yang membabitkan orang kanan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peringatan secara terbuka Rafizi kepada Anwar berhubung tindak-tanduk Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam media sosial mencuri perhatian ramai.

POPULAR