Kami kecewa kerana penyatuan gagal: Tuan Ibrahim

Kegagalan rundingan kerjasama antara PAS dan Bersatu dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sangat mengecewakan, kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS itu berkata peringkat awal rundingan menunjukkan hasil positif walaupun mengambil sedikit masa, namun akhirnya Barisan Nasional (BN) mengambil langkah sebaliknya mahu bertanding semua kerusi di Melaka.

“Bagi kami rasa sedikit kecewa (kerana) usaha penyatuan itu gagal pada hujungnya, tetapi Melaka bukan medan kita,” katanya ketika ditemui media di Kuala Terengganu hari ini.

Terdahulu awal hari ini, BN mengumumkan bertanding semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka, sekaligus mengesahkan bakal berlaku pertembungan banyak penjuru.

Dalam pada itu, PAS atas tiket Perikatan Nasional (PN) juga akan bertanding di lapan kerusi iaitu dewan undangan negeri (DUN) Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam, Kelebang dan Merlimau.

Untuk rekod, UMNO merupakan penyandang di tujuh kerusi tersebut kecuali DUN Bukit Katil yang dimenangi Amanah semasa Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Walaupun berat, Tuan Ibrahim berkata terpaksa menerima keputusan akan berlakunya pertembungan dengan UMNO di Melaka nanti.

“Sebenarnya pada peringkat awal kita runding supaya kita mengelak (bertembung), kalau kita dapat kompromi kerusi. Tetapi oleh kerana Umno buat keputusan untuk bertanding semua menyebabkan kita tiada pilihan.

“Ya (terpaksa), sebab UMNO akan tanding semua kerusi. Jadi pada masa itu tak ada kompromi untuk kita melihat mana-mana kerusi diagih (runding).

“Kalau sekiranya kita runding dan ada kerusi UMNO tak bertanding mungkin tidak ada pertembungan,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan Tuan Ibrahim berkata kerjasama Muafakat Nasional bersama UMNO bukan sebagai parti politik kerana ia tidak didaftarkan berbanding PN.

“Kami dalam MN (adalah) medan besar untuk muafakat besar yang bukan sekadar (untuk) pilihan raya (tetapi) gagasan penyatuan ummah, sebab itu PAS bertanding di bawah PN kerana sudah berdaftar,” ujarnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR