
Ketua Penerangan Armada, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.
Keputusan kerajaan campuran menarik balik rayuan berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah dikecam sayap pemuda Bersatu, Armada.
Armada Bersatu dalam satu kenyataan membidas langkah terbaharu dibuat kerajaan campuran yang menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini pada 2021 dan menggesa penjelasan diberikan segera.
“Mewakili Armada selaku Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Armada sebagai sebuah badan siasah yang menjulang kesyumulan Islam mengecam sepenuhnya tindakan kerajaan Malaysia diterajui Anwar Ibrahim yang telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’dan tiga perkutan Arab dalar penerbitan bahan agama mereka, dengan penarikan itu telah difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 18 April lalu,” kata Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.
Menurut Ashraf lagi, tindakan merayu itu sebelum ini dibuat semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi memastikan kesucian dan hak umat Islam di Malaysia terpelihara.
Namun, Ashraf berkata nampaknya kerajaan campuran dilihat mengambil pendirian berbeza dengan kerajaan terdahulu.
“Amatlah berbeza langkah yang diambil kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengemukakan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Dato’ Seri Hamzah Zainudin.
“Bahkan Hamzah selaku Menteri Dalam Negeri telah bertindak demi menjaga maslahat ummah telah mengeluarkan arahan pentadbiran berhubung kalimah Allah atas guasa pentadbirannya demi membendung kekeliruan atas penggunaan kalimah Allah ini,” ujarnya lagi.
Terdahulu, KDN dan Kerajaan Malaysia dilaporkan telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021.
Notis pemberhentian difailkan Jabatan Peguam Negara pada 18 April lalu.
Pada 10 Mac 2021, Hakim Nor Bee Ariffin yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran namun tertakluk pada syarat-syarat tertentu.
Selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘solat’.
Bagaimanapun, penerbitan buku agama atau bahan keagamaan Kristian yang menggunakan empat perkataan itu perlu disertakan dengan penafian (disclaimer) ‘Hanya untuk penganut Kristian sahaja’ pada kulit buku beserta lambang salib.
Hakim itu memutuskan demikian dalam semakan kehakiman yang difailkan Jill Ireland.
Jill Ireland yang merupakan seorang wanita Melanau memfailkan semakan kehakiman pada 2008 memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula lapan cakera padat mengandungi kalimah Allah dan relif bahawa hak pelembagaannya untuk mengamalkan agamanya telah dihalang melalui sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.