
Keputusan menarik balik permohonan rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah oleh kerajaan didakwa melanggar titah Sultan Johor dan Sultan Selangor.
Bersatu menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan campuran itu bertentangan dengan titah yang pernah dikeluarkan Sultan Johor dan Selangor sebelum ini, malah dilihat sebagai campur tangan kerajaan dalam urusan kehakiman.
“KDN juga membelakangkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada 2008.
“Hasil perbincangan tersebut memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci khusus bagi agama dan umat Islam serta tidak boleh digunakan atau disamakan dengan lain-lain kepercayaan (agama),” kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan melaporkan Kerajaan Malaysia dan KDN menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.
Sementara itu, Razali turut membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan laporan ‘Penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Sarawak dibolehkan’.
Jelas beliau, kenyataan Ahli Parlimen Tambun itu agak dangkal kerana Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia yang mana Islam adalah agama Persekutuan berserta Majlis Agama Islam negeri berkenaan wujud di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya berpandangan keputusan KDN dan kenyataan Perdana Menteri adalah bercelaru ‘in desperate move’ untuk elak Sarawak dan Sabah tarik sokongan kepada kerajaan sehingga sanggup ‘bakul sampahkan’ tata kelola dengan membelakangkan Raja-Raja Melayu (Ketua Agama),” ujarnya.
Pada masa sama, beliau beranggapan Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, tidak mempunyai hak untuk membuat keputusan menarik balik rayuan tanpa merujuk kepada Raja-Raja, Majlis Agama Islam Negeri dan Muzakarah Malaysia.
Justeru, Razali mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar untuk menyatakan pendirian jelas dan tegas bagi mempertahankan segala usaha atas titah perintah Raja-Raja Melayu.