
Tan Sri Annuar Musa.
Pemilihan calon dalam sesebuah parti diputuskan oleh pemimpin tertinggi, kata Tan Sri Annuar Musa.
Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata sesebuah parti berhak untuk menentukan calon yang diletak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tetapi jika tidak terpilih tetapi masih mahu bertanding, maka perlu isi borang sendiri.
“Kalau mahu menjadi calon untuk bertanding mewakili organisasi atau parti, itu hak parti untuk memilih, bukan hak kita, tetapi kalau tetap nak jadi calon untuk bertanding, cari borang sendiri,” katanya dipetik laporan BH.
Annuar berkata, pemilihan calon juga perlu memenuhi beberapa kriteria utama seperti direstui pucuk pimpinan, mendapat persetujuan jentera parti dan disenangi rakyat.
Justeru, beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, amalan sabotaj atau ‘cah keting’ tidak sepatutnya wujud kerana ia bukan saja merugikan parti, malah memberi kesan kepada diri sendiri.
“Cah keting ini istilah asalnya digunakan dalam permainan bola sepak kerana kita bukan saja mencederakan orang, tetapi mencederakan diri sendiri. Oleh itu, amalan ini tidak perlu ada dalam politik,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihati anggota BN supaya tidak terjebak dengan amalan ‘cah keting’ jika tidak tercalon pada PRU-15 nanti.