Kalau nak cerai cakap elok-elok, kata Tajuddin kepada PAS

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, kecewa tindakan PAS yang mahu memperkukuhkan Perikata Nasional (PN) bersama Bersatu.

“Saya mahu ingatkan, tolong jaga sikit kenyataan, jangan keluar kenyataan ikut sedap sahaja.” Demikian kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, kepada kepemimpinan PAS.

Sambil mengingatkan kepemimpinan PAS agar berhati-hati mengeluarkan kenyataan membabitkan hubungan parti itu dan UMNO, beliau juga mendesak PAS menyatakan pendirian sebenar mengenai hubungan kedua-dua parti itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan PAS untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama bersama Bersatu di dalam Perikatan Nasional (PN).

Rabu lalu, Bersatu dan PAS menyatakan persetujuan kekal dalam PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang dan juga menubuhkan satu jawatankuasa untuk berbincang mengenai pengagihan kerusi.

Setiausaha Agung Bersatu dan Setiausaha Agung PAS menerusi kenyataan bersama berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Isnin.

“Bersatu dan PAS juga bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU15, terutama yang membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya,” kata kenyataan yang ditandatangani Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Tajuddin menyifatkan PAS mahu menceraikan UMNO kerana sudah mendapat pengganti yang lebih baik.

“Sekarang mereka mahu tinggalkan UMNO, teman lama yang banyak berjasa. Mereka sudah nak menceraikan kita, mungkin sudah dapat teman baru yang lebih baik.

“Kalau sudah tidak mahu bersama UMNO, cakap elok-elok. Kita boleh berpisah secara baik dan semasa PRU kita bersilatlah sesama kita,” kata Tajuddin.

POPULAR