Kalah usul SOSMA, UMNO ada alasan PRU diadakan segera: Nazri

Susulan kekalahan dalam undian belah bahagian di Dewan Rakyat semalam, Datuk Seri Nazri Aziz berkata UMNO kini mempunyai alasan yang paling kuat untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dengan secepat mungkin.

Veteran UMNO itu menyifatkan kerajaan sekarang tidak lagi mempunyai asas untuk meneruskan pemerintahan sekarang dan senada dengan rakan satu partinya, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa memorandum persefahaman (MoU) yang dimerterai sebelum ini sudah terbatal.

“Faktanya, kita kalah usul. Jalan yang betul sekarang adalah kembali kepada rakyat, iaitu kita mempunyai alasan sekarang untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU).

“Ini bukan keputusan saya, ini keputusan parti saya. Kalau mereka fikir mereka harus kembali kepada rakyat untuk meminta pengundi memilih (kerajaan baru), itu hak mereka.

“Pada saya, dalam soal ini, kami telah kehilangan asas moral untuk terus menjadi kerajaan. Jadi saya serahkan kepada parti saya untuk membuat keputusan,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Walaupun sebelum ini Nazri tidak bersetuju agar PRU-15 dijalankan, namun susulan keputusan di Dewan Rakyat semalam pandangannya berbeza kerana melihat pembangkang tidak menghormati MoU yang ditandangani mereka sebelum ini.

“Tapi hari ini saya tiada asas moral untuk berdiri di sini dan mengatakan bahawa kita tak perlu membubarkan parlimen.

“Pada pandangan saya, sukar untuk kami berdiri di sini hari ini untuk terus mentadbir kerajaan kerana kita telah hilang asas oral, dan kita telah kalah usul,” katanya lagi.

Terdahulu, usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam tidak diluluskan setelah melalui undi belah bahagian, yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen (MP) bersetuju manakala 86 (pembangkang) lagi tidak bersetuju.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undi itu berkata seramai 50 MP tidak hadir.

BERITA BERKAIT
POPULAR