
Parti keramat Melayu - UMNO - tiada nilai perjuangan setelah 'berkahwin' dengan DAP.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang membuka tirainya jam 8 pagi ini (11 Januari 2023) dan berakhir Sabtu, dijangka dipenuhi dengan perbahasan dan gesaan supaya beberapa jawatan tertinggi parti, termasuk presiden dan timbalan presiden, dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Isu-isu berhubung kekalahan teruk UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang diadakan pada 19 November tahun lalu, juga bakal mewarnai perbahasan, selain perwakilan akan meminta pertanggungjawaban oleh kepimpinan tertinggi dan sayap-sayapnya.
Dihadiri 5,523 perwakilan dari seluruh negara, juga dijangka mendengar luahan hati akar umbi yang berasa ditipu oleh pemimpin atasan berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), setelah PAU khas sebelum ini meluluskan resolusi ‘No Anwar, No DAP’.
Ketika kempen PRU-15 lalu, kepimpinan UMNO, khususnya Majlis Tertinggi (MT) dan Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sering menafikan UMNO akan bekerjasama dengan PH, termasuk DAP, jika gagal membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, keputusan itu berbeza apabila Zahid dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan membawa UMNO – yang menang 26 kerusi Parlimen – bekerjasama dengan DAP dalam PH membentuk Kerajaan Persekutuan.
Perhimpunan kali ini juga bakal mencatatkan sejarah tersendiri apabila penganjurannya sedikit berbeza daripada sebelumnya apabila Taklimat Presiden diadakan kembali.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Taklimat Presiden tertutup itu akan dihadiri oleh lebih 2,000 perwakilan dan pimpinan di Dewan Merdeka.
“Itu kelainan pertama kerana sudah lama tidak diadakan Taklimat Presiden sebelum ini, jadi Majlis Tertinggi meminta saya menguruskannya dan segala jemputan telah kita buat selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO baru-baru ini,” katanya seperti dipetik dalam UMNO Online.
Sebelum ini, Taklimat Khas Presiden telah diadakan sejurus bekas Presiden UMNO yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dihantar menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya berhubung kes SRC International.
Ahmad Maslan juga memaklumkan Perhimpunan Agung Khas juga memberikan signifikannya tersendiri pada penganjuran kali ini apabila bakal meminda dua usul Perlembagaan UMNO.
“Satu lagi atur cara penting dalam perhimpunan kali ini ialah Perhimpunan Agung Khas UMNO bagi meminda Perlembagaan yang pertama untuk memasukkan daripada ketua-ketua penerangan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri sebagai perwakilan secara automatik.
“Ia juga menyelaraskan dengan Akta Lompat Parti apabila seseorang itu melompat ke parti lain maka tergugur keahliannya,” katanya.
Sementara itu, perwakilan juga dijangka mendesak supaya kepimpinan tiga sayap utama UMNO – Wanita, Pemuda dan Puteri – ditukar dan dipertanggungjawabkan ke atas kekalahan teruk parti pada PRU-15 lalu.
Pemuda diketuai Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Puteri oleh Datuk Zahida Zarikh Khan – yang masing-masing kalah di Parlimen Gerik dan Padang Besar iaitu kubu kuat UMNO – dikatakan gagal menarik anak muda untuk menyokong parti itu.
Sebaliknya gelombang anak muda beralih kepada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan, sehingga banyak kubu kuat UMNO tumbang, termasuk kejayaan PN merampas Perlis.
Asyraf Wajdi dan Zahida dikatakan tidak boleh ‘cuci tangan’ di atas rekod buruk yang menyaksikan kerusi Parlimen UMNO tinggal 26 kerusi berbanding 41 selepas PRU-14.
Asyraf Wajdi mungkin tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda kerana sudah berusia 46 tahun, begitu juga Zahida berumur 43 tahun, tetapi mereka berhak untuk tidak menawarkan diri bertanding mana-mana jawatan dalam parti.
Pengunduran mereka secara tidak langsung akan membuka peluang dan laluan kepada kehadiran muka-muka baharu untuk bertanding dan menduduki jawatan itu sekali gus berupaya memberi nafas baharu kepada parti dalam menghadapi PRU-16 sejajar dengan rancangan peremajaan UMNO.
Seperti mana kata tokoh Veteran UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, bukan sahaja ahli-ahli UMNO, malah rakyat sendiri akan meninggalkan parti itu jika gagal membawa nafas baharu setelah kekalahan besar ketika PRU-15.
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad juga berharap jawatan presiden dan timbalan presiden serta semua jawatan lain dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun depan sebagai satu respons kepada ‘kekalahan’ BN dalam PRU-15.