Kalah teruk di Melaka, Khalid ada hati minta PN tak tanding di Johor

Kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November lalu, Pakatan Harapan (PH) ada hati meminta Perikatan Nasional (PN) tidak bertanding pada PRN Johor yang akan berlangsung Mac depan.

Gesaan supaya PN tidak bertanding di PRN Johor dibuat Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad, salah satu parti gabungan PH.

Ketika membuat gesaan itu, Khalid berkata PN boleh memainkan peranan untuk memastikan ‘undi menolak BN’ tidak akan terpecah dan hanya akan diperoleh PH sahaja.

Menurutnya, apa yang berlaku ketika PRN Melaka sebelum ini sepatutnya menjadi pengajaran apabila ‘undi menolak BN’ terpecah kepada PN dan PH.

“Sebenarnya strategi yang sama telah diusahakan BN semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Pada masa itu PAS digunakan sebagai alat pecah dan perintah dengan dipujuk dan dipikat BN untuk meninggalkan Pakatan Rakyat (PR).

“Harapan BN adalah, dengan itu PR akan kalah di Pantai Barat kerana PR akan kehilangan undi PAS. Sambil itu, PAS akan kalah di Pantai Timur kerana kehilangan undi PR,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, PN sebenarnya memegang kunci kepada kekalahan BN di Johor.

Bagaimanapun Khalid tidak sedar bahawa AMANAH dan PH kini semakin dipinggir oleh rakyat, termasuk akar umbi parti komponen PKR dan DAP, setelah Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat bertindak sendirian.

Penolakan rakyat terhadap PH dapat dilihat menerusi kekalahan teruk gabungan PKR, DAP dan AMANAH, pada PRN Melaka November tahun lalu apabila hanya menang lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu PPH menang 15 kerusi DUN Melaka.

Sebaliknya, Bersatu mengekalkan dua kerusi dimenangi pada PRU-14 apabila menang di DUN Sungai Udang, dan DUN Bemban.

BERITA BERKAIT
POPULAR