Kalah PRN, Rafiq lepas jawatan Pengerusi Bersatu dan PN Melaka

Pemimpin utama Bersatu Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Bersatu dan juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, berkuat kuasa serta-merta.

Peletakan jawatannya itu diumumkan dalam satu kenyataan hari ini dan beliau akan menyerahkan surat rasmi berhubung pengundurannya itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.

“Saya ingin memohon jutaan kemaafan atas segala kekhilafan sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka,” katanya.

Rafiq berkata peletakan jawatan itu dibuat bagi memberi peluang kepada kepimpinan baru mengetuai parti supaya mereka mempunyai masa yang mencukupi membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Beliau merupakan bekas Exco Kanan Melaka semasa Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri itu selepas PRU ke-14 yang diadakan pada 2018.

Bagaimanapun dia bersama Bersatu meninggalkan gabungan tersebut untuk membentuk kerajaan baru – tanpa pilihan raya negeri (PRN) – bersama Barisa Nasional (BN) pada Mac tahun lalu, sekali gus menyaksikan PH tumbang kerana kehilangan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun kerajaan negeri itu jatuh pula akibat tindakan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang menjadi punca PRN Melaka diadakan baru-baru ini.

Dalam PRN yang diadakan pada 20 Nov lalu, PN meletakkan calon di semua 28 kerusi yang ada namun hanya memenangi dua daripadanya.

Rafiq bagaimanapun gagal memenangi kerusi yang ditandinginya, Telok Mas.

Selain itu, Rafiq juga tidak dinamakan sebagai calon Ketua Menteri semasa PRN Melaka lalu sebaliknya PN mengumumkan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datu Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri.

Untuk rekod, Mas Ermieyati juga gagal memenangi kerusi yang ditandinginya, Tanjung Bidara.

Menurut Mohd Rafiq peletakan jawatan itu juga dibuat agar dia boleh memberikan fokus memperkukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat terhadap PN serta Bersatu Tangga Batu.

Ia juga, katanya, membuka ruang buatnya memberi tumpuan penuh terhadap tanggungjawab sebagai naib presiden Bersatu menjelang PRU ke-15.

“Saya berdoa agar rakyat Melaka dan Malaysia dapat terus memberikan sokongan kepada PN pimpinan Muhyiddin dan semoga PN mencapai kejayaan cemerlang pada PRU yang bakal tiba nanti,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR