
Muktamar Tahunan PAS Ke-68 di Kompleks PAS Kedah. Foto kredit Facebook HarakahDaily.
Kad jemputan kepada UMNO Kedah untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS Ke-68 diserahkan kepada seorang Exco kerajaan negeri dari parti UMNO, Datuk Suraya Yaakob.
Penolong Setiausaha PAS Kedah Zulkifli Yahaya mengesahkan kad jemputan itu diberikan kepada Suraya sebagai wakil UMNO dalam kerajaan negeri untuk ke muktamar tersebut, bagaimanapun tidak ada jawapan diberikan sama ada hadir atau sebaliknya.
“Saya serah sendiri dengan tangan kad (undangan) pada Dato’ Suraya Yaakob (satu-satunya Exco Umno) di pejabatnya pada Selasa 30 Ogos 2022.
“Dato’ cuma ghenyeh (tersenyum lebar), apa pun tak jawab,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebook.
Beliau berkata demikian susulan dakwaan Pengerusi UMNO Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa tiada siapa pun dari pihaknya, termasuk dirinya sendiri, menerima undangan ke acara itu.
Jamil menjawab kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam yang mengatakan pemimpin Umno, termasuk Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ahli Majlis Tertinggi dan ahli cawangan Kedah diundang ke muktamar tetapi mereka tidak hadir.
Dakwaan itu dibuat sehari selepas UMNO seolah-olah menutup pintu untuk sebarang kerjasama lanjut dengan PAS bawah Muafakat Nasional yang ditubuhkan kedua-dua parti itu pada September 2019.