
Penyandang kerusi Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkongsi program jualan murah anjuran kerajaan negeri Selangor diperintah Pakatan Harapan (PH) yang diadakan dalam kawasan parlimennya pada hari ini.
Ironinya, PH dan calonnya, Dzulkefly yang sebelum melaungkan kerajaan bersih dan berintegriti mengadakan program tersebut ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sedang berjalan, tetapi tidak pula program jualan murah tersebut diadakan sebelum penamaan calon pada 5 November lalu.
Dalam perkongsian hantaran di Facebooknya, calon Parti Amanah yang bertanding atas tiket PH itu mempromosikan program jualan murah tersebut yang diadakan di Jeram, Pantai Remis Kampung Sungai Sembilang bermula hari ini (Selasa).
Bertemakan Jelajah Ehsan Rakyat, program itu menawarkan kepada orang ramai di Kuala Selangor untuk membeli barangan keperluan rumah dengan potongan harga istimewa.
Selain itu, perkongsian itu juga memberitahu sebenarnya program tersebut sudah berjalan sejak 6 September lalu dan akan berakhir pada 6 Disember dengan peruntukan oleh kerajaan negeri sebanyak RM10 juta.
“Untuk rekod, Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk menjayakan jualan murah di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi. Jumpa anda disana!” kata Dzulkefly dalam hantaran Facebooknya hari ini.
Terdahulu pada Mei lalu, bekas Menteri Kesihatan itu menyatakan hasrat mengundur diri dan memberi laluan kepada calon muka baharu untuk bertanding pada PRU-15.
Bagaimanapun, Dzulkefly membuat pusingan-U apabila mahu bertanding semula dan memberikan alasan ia disebabkan seorang Menteri dari kerajaan bertanding di situ.
Untuk rekod, beliau juga mendakwa calon lawannya dari Barisan Nasional (BN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai seorang yang mempunyai sumber kewangan yang besar.
Namun, Dzulkefly terlupa sebelum ini beliau juga merupakan seorang menteri semasa kerajaan PH memerintah negara semalam 22 bulan.
Hasil tinjauan Agenda Daily baru-baru ini di Kuala Selangor mendapati majoriti pengundi di situ mendakwa jarang melihat Dzulkefly turun padang, malah terdapat nelayan yang menuntut janji yang sebelum ini dibuat oleh beliau tetapi tidak ditunaikan.
Tidak kurang juga terdapat orang ramai yang tidak mengenali Dzukelfy sebagai wakil rakyat mereka di Kuala Selangor.
Parlimen Kuala Selangor bakal berdepan pertarungan sengit apabila sekurang-kurangnya empat calon menghantar borang pencalonan mereka untuk bertanding di kerusi tersebut pada PRU-15 kali ini.