
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ditempelak kerana tidak mencari jalan meredakan keadaan berhubung isu keagamaan, sebaliknya mengeruhkan lagi suasana dengan menuduh pihak hilang kuasa cuba meniupkan sentimen perkauman.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata semua ahli politik tahu bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan tindakan yang menyentuh sensitiviti Islam boleh mengundang kemarahan umat.
“Seperti program ziarah gereja oleh sebuah badan di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya.
Sehubungan itu katanya, tidak seharusnya timbul dakwaan melulu ada pihak yang hilang kuasa menggunakan program itu untuk meniupkan sentimen kaum dan agama, malah orang miskin didakwa digunakan untuk membuat kekacauan, seperti dinyatakan Perdana Menteri, semalam.
“Pihak yang membuat laporan polis adalah NGO dan mereka antara yang lantang bersuara dalam isu ini. Parti politik tidak terbabit di luar dan hanya bercakap mengenainya di Parlimen.
“Bukan saja NGO, malah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut mengeluarkan kenyataan membantah program itu.
“Jadi, kenyataan Perdana Menteri bahawa ada pihak yang hilang kuasa cuba meniupkan sentimen perkauman, seolah-olah mahu merujuk kepada pembangkang tidak sepatutnya dibuat oleh seorang Perdana Menteri.
“Beliau sepatutnya mencari jalan meredakan keadaan, bukan lebih mengeruhkan suasana,” katanya lapor BH.
Semalam, Perdana Menteri menegaskan, ada usaha pihak yang hilang kuasa menggunakan isu program ziarah rumah ibadah untuk meniupkan sentimen kaum dan agama di negara ini.
Beliau berkata, biarpun ia masih terkawal ketika ini, jika tindakan itu melampau sehingga mengganggu gugat ketenteraman awam, pihak keselamatan akan keras dan tegas bertindak.
“Saya sudah mengarahkan seluruh pasukan keselamatan untuk waspada kerana orang yang ‘desperate’ (terdesak) dan rasa tercabar akan menggunakan sentimen ini dan rakyat yang miskin akan diupah untuk menimbulkan apa-apa kekecauan,” katanya menurut BH.
Program itu adalah inisiatif diterajui Impact Malaysia, NGO yang bernaung di bawah KBS.
Jumaat lalu, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard, membuat laporan polis terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mendakwanya menyebarkan agama Kristian kepada belia Islam melalui program yang dikaitkan dengan kementeriannya.
Mengulas program berkenaan, Razali berkata, prosedur operasi program (SOP) bagi program seumpama itu perlu diperketat.
“Kita boleh mengunjungi gereja dan menganjurkan program dengan yang bukan Islam tetapi SOP perlu ketat, tidak boleh lebih kurang.
“Jika program dibuat secara terbuka seperti mempromosi agama lain, dengan SOP yang tidak ketat, ia dibimbangi boleh menjejaskan akidah anak muda Islam,” katanya.