
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Johari Abdul Ghani.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Johari Abdul Ghani membidas beberapa pihak kerana membelakangi prinsip penubuhan negara dengan menggunakan isu agama dan bangsa demi kepentingan politik.
Beliau yang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dalam kenyataan hari ini seperti dilapor BH, menyifatkan perbuatan itu sebagai memiliki pemikiran sempit dan jumud dan tidak sepatutnya dipraktikkan dalam negara yang sudah mencapai kemerdekaan selama 65 tahun.
Johari tidak menyatakan pihak mana yang beliau maksudkan itu. Boleh jadi juga UMNO, partinya sendiri yang menggunakan isu agama dan bangsa demi kepentingan politik.
Ini kerana tujuan dan matlamat UMNO sejak tertubuh hinggalah sekarang masih sama, walaupun terdapat beberapa pindaan kecil dalam perlembagaannya bagi membetulkan ayat atau menerangkan makna secara lebih jelas.
Tujuan dan matlamat ini terkandung dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO iaitu:
UMNO adalah sebuah parti yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.
1.1 Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.
1.2 Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berperlembagaan.
1.3 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama.
1.4 Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.
1.5 Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.
1.6 Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi Manusia dan Hak-hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.
Pemimpin dan ahli UMNO tidak lari daripada tujuan ini kerana ianya telah dicetuskan oleh akar umbi parti dan merupakan pegangan orang Melayu.