
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Halangan kuat daripada UMNO mungkin menyebabkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak melantik mana-mana pemimpin Perikatan Nasional (PN), khususnya daripada Bersatu, untuk menggantikan tempat Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti.
Biarpun, hak melantik menteri adalah prerogatif Perdana Menteri (PM), Ahli Parlimen Ampang itu dijangka dikekalkan jawatannya buat sementara waktu, lagi pula beliau telah menyatakan sokongannya kepada Ismail Sabri.
Sumber memberitahu Agenda Daily, Zuraida hanya membuat pengumuman sahaja, tidak menghantar surat peletakan jawatan menteri kepada Ismail Sabri.
Sebelum ini, di bawah Kerajaan Pakatan Harapan diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zuraida yang menjadi ahli Bersatu ketika itu dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah antara portfolio penting yang diserahkan kepada Bersatu, namun selepas Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO naik menjadi PM, kerusi menteri diserahkan kepada parti itu.
Menurut sumber itu walaupun menyedari bahawa kuota jawatan menteri yang kini dipegang Zuraida adalah milik Bersatu, PM telah menyatakan tidak ada rombakan Kabinet akan dilakukan.
Katanya pimpinan tertinggi UMNO tidak mahu ahli Bersatu yang baharu diberi jawatan menteri, terutama apabila hubungan kedua-dua parti itu terus renggang.
Sedangkan Zuraida dan parti baharunya Parti Bangsa Malaysia (PBM), kata sumber itu, telah menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri dan tidak salah bagi PM untuk mengekalkan Ahli Parlimen Ampang itu.
“Hanya tinggal setahun lebih sahaja lagi Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan. Lagi pula, PBM merancang menjadi parti gabungan Barisan Nasional (BN) bukannya PN yang menentang BN.
“Manakala Bersatu pula tidak dapat memberi tekanan kepada PM untuk menggantikan kuota menteri atau tempat Zuraida itu dengan ahli Bersatu yang lain.
“Walaupun boleh bertindak menarik sokongan dan menyebabkan Ismail Sabri jatuh, Bersatu tidak akan berbuat demikian kerana tindakan itu akan menyebabkan politik negara kembali bergolak, sekali gus memberi kesan negatif kepada PN.
“Malah, jika tindakan itu diambil, PM boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong menasihatkan baginda membubarkan Parlimen, sekali gus PRU-15 diadakan.
“Ini yang dikehendaki BN, tatkala kedudukan gabungan itu dikatakan semakin kuat dan boleh mencapai kemenangan besar,” katanya.
Sumber itu berkata jika keadaannya terlalu terdesak dan Ismail Sabri mempunyai alasan kukuh untuk rakyat mempercayainya, maka beliau boleh meminta Agong membubarkan Parlimen, walaupun baru-baru ini beliau membayangkan PRU-15 tidak akan disegerakan.
“Namun, dari sudut lain sekiranya Zuraida dikekalkan dan PM tidak diberi tekanan kuat oleh Bersatu, maka PRU-15 boleh ditangguhkan sehingga tamat penggal Parlimen tahun hadapan,” kata sumber itu.