Jika UMNO terpaksa berlutut di kaki ‘this’ dan ‘that’ pasca PRU15

Kenyataan UMNO bahawa mereka sanggup bekerjasama dengan mana-mana parti politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menunjukkan parti itu tidak yakin memenangi PRU secara bersendirian.

Pemerhati politik, Kamarul Zaman Yusoff, berkata pendirian untuk bertanding bersendirian memberi gambaran segala-galanya demi kuasa.

“Pendirian untuk bertanding berseorangan tetapi bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja selepas pilihan raya selesai memberikan gambaran bahawa segala-galanya adalah demi kuasa bukannya demi mana-mana prinsip yang murni.

“Pernyataan mengenai kesediaan untuk bekerjasama membentuk kerajaan selepas pilihan raya selesai merupakan pengakuan tersirat mengenai ketidakyakinan penuturnya ke atas kemampuannya untuk memenangi pilihan raya secara bersendirian,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan bertanding sendirian menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang.

Zahid bagaimanapun berkata, UMNO terbuka untuk mewujudkan kerajaan perpaduan selepas PRU15 nanti, namun terlebih dahulu UMNO wajib terus direlevenkan dan mendominasi politik tanah air.

Mengulas lanjut Kamarul Zaman berkata, mentaliti kita adalah untuk memimpin, bukan dipimpin oleh kesombongan intelektual yang akan boleh melarikan pihak-pihak lain yang turut berasakan mereka berhak dan layak untuk diberi peluang memimpin.

“Sukar dibayangkan keaiban yang akan menimpa diri kita jika kita akhirnya akan terpaksa berlutut di kaki ‘This’ dan ‘That’ untuk bekerjasama bila sebelumnya kita sendiri juga yang gah melaung-laungkan setiap masa mengenai ‘No This’ dan ‘No That’,” kata Kamarul Zaman.

BERITA BERKAIT
POPULAR