Jika tiada peletakan jawatan bermakna rancangan Zahid gagal

Rancangan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya Menteri dan Timbalan Menteri meletak jawatan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) sekiranya tidak berlaku ia akan memperlihatkan kegagalan Presiden UMNO itu yang dilihat terdesak untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Hanya seorang dikalangan menteri UMNO selepas ucapan dasar Zahid pagi tadi menyatakan kesediaan melepaskan jawatan, baki yang lain masih mendiamkan diri dan tidak menyahut seruan yang disuarakan Zahid.

Untuk rekod, 14 pemimpin UMNO dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dah tentu sebagai pemimpin saya akur dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh parti,” kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Shamsul Anuar Nasarah apabila ditanya selepas mendengar ucapan dasar pagi tadi.

Zahid dalam ucapannya berkata Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk bertanding secara bersendirian dalam pilihan raya umum nanti meskipun tanpa kerjasama dengan PAS.

Perwakilan UMNO dipilih Zahid yang berbahas hari ini juga memberi tekanan sama dengan ucapan berapi-api mengkritik Bersatu yang dipimpin Muhyiddin dan PAS yang menjalinkan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) juga terpalit dikecam apabila kesetiaan mereka dipertikaikan Zahid.

Lebih jelas kecewa adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bergegas meninggalkan PAU pagi tadi tanpa satu patah perkataan mengulas kenyataan Zahid yang dianggap menguris parti Islam tersebut.

Terdahulu, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah juga menggesa supaya ahli UMNO yang memegang jawatan Menteri, Timbalan Menteri, Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digesa meletak jawatan hari ini.

Razaleigh menyifatkan ucapan dasar oleh Zahid itu mencerminkan hasrat dan niat sebenar UMNO yang mahu ahli mereka yang berjawatan untuk segera melepaskan jawatan mereka.

“Dan bererti semua ahli UMNO yang Menteri, Timbalan Menteri yang pegang jawatan Pengerusi GLC mesti tarik diri kalau boleh hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, ahli UMNO yang berjawatan belum memberikan sebarang respon terhadap gesaan Zahid dan Razaleigh, sekaligus menimbulkan tanda tanya sama ada mereka rela atau tidak untuk patuh kepada rancangan Presiden UMNO itu.

Sekiranya tiada ahli UMNO yang meletak jawatan, ia bermakna rancangan Zahid untuk menggunakan PAU kali ini bagi menumbangkan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin gagal dan secara tidak langsung membuktikan beliau tidak mendapat sokongan dikalangan ahli partinya itu sendiri.

BERITA BERKAIT
POPULAR