Jika tak terima 4 ADUN, orang Melayu lihat Anwar tunduk kepada DAP

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilihat tunduk kepada DAP jika tidak menerima empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Blok pembangkang itu gagal mencapai kata sepakat apabila masih belum membuat keputusan muktamad selepas mengadakan mesyuarat Majlis Presiden PH semalam, ia dipercayai wujud penentangan daripada DAP yang secara jelas menolak empat bekas ADUN tersebut.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang dibidas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kerana cuba membawa empat bekas ADUN itu masuk dalam gabungan tersebut, malah Anwar sudah bertemu dengan mereka beberapa kali sejak jatuhnya kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Terbaharu dalam satu majlis PH Melaka, empat bekas ADUN yang diketuai Datuk Seri Idris Haron itu hadir pada majlis bersama dengan Anwar dan buat kali pertama melaungkan slogan keramat PKR ‘reformasi’ di atas pentas.

Untuk rekod, Idris sebelum ini mendakwa mendapat sokongan ADUN pembangkang termasuk wakil DAP untuk dilantik sebagai KM baharu bagi menggantikan Sulaiman dan bertindak menumbangkan kerajaan negeri selepas yakin memperoleh majoriti yang mencukupi.

Sebagai seorang ketua yang menggepalai blok pembangkang dan juga calon Perdana Menteri bagi gabungan tersebut, Anwar akan dilihat lemah dan tidak berupaya melawan tentangan DAP sekiranya tidak menerima empat bekas ADUN tersebut.

Ia juga secara tidak langsung menunjukkan PH sebenarnya dikuasai oleh DAP sehingga Anwar tidak berani membuat keputusan untuk menerima empat bekas ADUN tersebut.

Selain itu, persepsi dikalangan pengundi kaum Melayu yang melihat DAP menguasai PH selama ini adalah terbukti benar dan bukan sekadar cakap-cakap kosong.

Jika DAP tidak mahu menerima empat bekas ADUN tersebut, sepatutnya daripada awal lagi keputusan tersebut diumumkan dan mengapa perlu menunggu sehingga kerajaan negeri jatuh dan PRN terpaksa diadakan. Bukankah kini ia sudah menyusahkan rakyat yang terpaksa menanggung risiko berdepan penularan pandemik Covid-19?

DAP perlu sedar tanpa sokongan empat bekas ADUN tersebut, mustahil PH akan dapat membentuk kerajaan baharu kerana tidak memiliki majoriti yang diperlukan dan perlu diingat PH juga sudah membawa kes berhubung pembubaran DUN ke mahkamah.

Tindakan membawa kes ke mahkamah itu juga membuktikan sebenarnya mereka mengakui menerima sokongan daripada empat bekas ADUN tersebut, cuma kali ini pertukaran kerajaan tidak berlaku seperti yang diharapkan apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Anwar perlu sedar empat bekas ADUN tersebut merupakan orang Melayu dan mereka menang dalam pilihan raya sebelum ini juga dipilih rakyat, adakah Anwar mahu dilihat tunduk kepada DAP jika tidak menerima empat bekas ADUN itu untuk bertanding atas tiket PH nanti.

Nampaknya dalam senario politik di Melaka, DAP sudah menunjukkan taringnya yang sebenar dan memberi isyarat tidak semua kehendak Anwar akan dituruti mereka.

Kesilapan yang berlaku di peringkat pusat apabila ditipu Anwar yang kononnya mendapat sokongan majoriti dikalangan beberapa Ahli Parlimen (MP) UMNO untuk dilantik menjadi Perdana Menteri tidak dilupakan DAP, malah orang ramai khususnya pengundi Cina juga sudah hilang kepercayaan terhadap DAP kini.

Pengundi Cina menyalahkan DAP kerana menjadi punca UMNO kembali dominan di Putrajaya dan kesilapan sama cuba dielak akan berlaku sekali lagi.

Dalam situasi ini, Anwar mungkin akan dilihat lebih mementingkan sokongan DAP daripada sokongan empat bekas ADUN tersebut dan lebih jelas lagi beliau sangat takut sekiranya DAP tidak lagi menyokongnya.

Kemungkinan besar Anwar akan menolak permohonan empat bekas ADUN tersebut kerana desakan dan tekanan DAP yang tidak mahu mereka bertanding atas tiket PH.

Situasi ini akan mengakibatkan empat bekas ADUN tersebut pasti menyesali tindakan mereka menarik sokongan terhadap kerajaan negeri apabila PH juga tidak mahu menerima mereka.

Empat bekas ADUN tersebut terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu); Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor).

Baru-baru ini, semua empat bekas ADUN itu bertemu dengan Presiden PKR, Anwar di sebuah hotel dan menyatakan kesediaan untuk bertanding atas tiket parti tersebut.

Kerajaan Melaka tumbang pada 4 Oktober lalu selepas empat bekas ADUN berkenaan umum hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Sulaiman.

Susulan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dan hari penamaan calon pada 8 November serta tarikh mengundi awal pada 16 November dengan tempoh berkempen selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November.

BERITA BERKAIT
POPULAR