
Peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi, Muhammad Rafique Rashid Ali. - Gambar Bernama
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi orang pertama yang tidak bersetuju dengan langkah kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan dan projek mega terutamanya menjelang pilihan raya bakal diadakan.
Bagaimanapun, seorang peguam, Rafique Rashid berkata selepas menjadi Perdana Menteri (PMX) nampaknya Anwar sendiri menjalankan tadbir urus secara “double standard” apabila mengumumkan peruntukan tambahan dan projek di negeri yang dilawatinya sendiri.
Peguam Rafique Rashid berkata, tindakan terbaru Anwar yang berkongsi kepada rakyat Negeri Sembilan tentang keputusan kerajaan meluluskan peruntukan tambahan berjumlah lebih RM1 bilion di negeri itu hanya membuktikan beliau bersikap “hipokrit”.
Ini termasuklah juga katanya, pengumuman Anwar kepada Pulau Pinang berhubung pelaksanaan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri berkenaan dan peruntukan khusus sebanyak RM1.6 bilion kepada negeri Kedah seperti yang diumumkan pada 3 Mei lalu.
“Mengapa saya katakan begitu? Kerana sebelum (Anwar) menjadi perdana menteri beliau menyatakan dengan jelas bahawa beliau akan memastikan tata kelola cara pengurusan dan pentadbiran akan mengikut undang-undang.
“Kedua, tidak akan menyalahgunakan peruntukan kerajaan untuk kejayaan politik,” katanya dipetik laporan MalaysiaNow.
Pada masa yang sama, Rafique menegaskan setiap pengumuman yang dibuat oleh Anwar itu tidak boleh dielakkan dengan situasi politik semasa yang bakal menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.
Kini, Anwar dengan jenama pentadbirannya “Kerajaan Madani” sedang aktif menjelajah ke setiap negeri yang bakal berdepan PRN dengan menganjurkan rumah terbuka mega dengan sasaran lebih 10,000 hadirin di setiap majlis yang dianjurkan.
Seterusnya, Anwar akan melawat Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei).
Untuk rekod, bagi semua pengumuman peruntukan dan projek mega yang diumumkan oleh Anwar disebutkan ketika beliau melawati negeri-negeri sempena penganjuran rumah terbuka kerajaannya.
Pada 7 Mei, Anwar ke Negeri Sembilan memberitahu keseluruhan jumlah peruntukan pembangunan disediakan kerajaan pusat khusus kepada negeri itu bagi 2023 adalah berjumlah RM1.27 bilion.
Sementara itu di Pulau Pinang, Anwar berkata kerajaannya akan menambah dana dalam satu skim yang besar untuk melaksanakan perkhidmatan LRT di negeri tersebut dan bakal mengadakan satu mesyuarat bersama kerajaan negeri untuk membincangkan perkara tersebut dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.
Manakala di Kedah, Anwar menegaskan pihaknya akan menyalurkan dana sebanyak RM1.6 bilion untuk membangunkan negeri itu khususnya tambah baik bekalan air di beberapa daerah.
Pada Januari lalu, Anwar berikrar tidak akan meneruskan amalan kerajaan terdahulu yang disifatkannya selalu mengumumkan projek-projek pembangunan ketika melakukan lawatan di negeri-negeri terutama ketika menjelang pilihan raya.
Mengulas lanjut, Rafique turut mempersoalkan tindakan tersebut dengan mengatakan sekiranya Anwar belum menjawat jawatan perdana menteri sudah pasti beliau akan menjadi individu pertama yang menyelar para pemimpin politik lawan yang membuat pengumuman yang sama sedemikian.
“Tapi bila beliau berada dalam kuasa, beliau pula yang lakukan perkara itu. Sebab itu saya katakan beliau seorang yang hipokrit.
“Berlainan sungguh, untuk beliau boleh tapi untuk orang lain tidak boleh,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, enam Pilihan Raya Negeri (PRN) juga bakal diadakan tidak lama lagi dan Anwar dilihat memerlukan kemenangan di semua negeri tersebut jika mahu terus kekal menjadi Perdana Menteri.