Jika sayang Rafizi, undilah saya: Saifuddin

Datuk Seri Saifuddin Nasution menghormati pandangan ahli akar umbi PKR yang berbelah bahagi sama ada untuk memilihnya atau Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden PKR yang baharu pada pemilihan parti nanti.

Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR itu berkata pesaingnya, Rafizi juga mempunyai sokongan kuat dikalangan ahli parti, bagaimanapun sepanjang turun berkempen mendapati beliau juga mempunyai peluang untuk menjadi pemimpin nombor dua parti itu.

“Saya lama dalam parti, tentulah saya boleh membaca dari segi sambutan, ‘body language, face expression’…semua saya boleh baca.

“Saya menganggap saya tetap mempunyai peluang baik untuk terpilih (sebagai timbalan presiden),” katanya dipetik laporan media selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Jelasnya, pemilihan parti yang berlangsung adalah proses demokrasi dan bukan bertujuan untuk memutuskan hubungan silaturrahim sesama ahli parti.

“Bagaimanapun, saya sekali lagi ingin tegaskan, pemilihan ini satu proses demokrasi dan bukan bertujuan untuk memutuskan silaturahim dalam kalangan pemimpin dan ahli parti,” katanya lagi.

Berhubung calon lawannya, Saifuddin mengakui terdapat ahli-ahli parti yang cenderung menyokong Rafizi, namun menyeru ahli parti supaya memilihnya jika mereka sayang kepada Rafizi.

“Ada kawasan yang saya pergi, mereka mengatakan yang mereka berbelah bahagi untuk memilih kerana mereka mahukan saya, tetapi mereka sayang Rafizi.

“Jadi, saya beritahu mereka, senang saja, sayang Rafizi, undi Saifuddin,” katanya lagi.

Saifuddin akan berentap dengan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk jawatan nombor dua itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR