Jika saya UMNO, saya buat PRU pada akhir Julai: Rafizi

UMNO dijangka mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) pada akhir Julai ini, kata calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen (MP) Pandan itu membuat andaian sekiranya berada dalam UMNO, beliau akan mencadangkan supaya PRU-15 diadakan dalam tempoh waktu tersebut ketika sokongan rakyat terhadap mereka kuat susulan keputusan menang besar di Melaka dan Johor lalu.

“Empat bulan adalah masa yang singkat (dari sekarang). Dan saya tidak terkejut jika ia diadakan pada bulan Ogos atau September.

“Jika saya dalam UMNO, saya akan menggesa pilihan raya umum diadakan pada akhir Julai,” katanya dipetik laporan media.

Dalam pada itu, Rafizi membidas segelintir ahli politik yang berebut jawatan tetapi tidak berminat untuk memberikan khidmat kepada rakyat secara bersungguh-sungguh.

“Ahli politik mesti fokus untuk berkhidmat kepada rakyat. Selalunya ahli politik berebut jawatan parti supaya dapat jawatan kerajaan.

“Kebanyakan tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat. Itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya lagi.

Terdahulu semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, pemimpin dan perwakilan parti tersebut membangkitkan berhubung cadangan supaya Parlimen dibubar dengan segera bagi memberi laluan PRU-15 diadakan.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga dalam ucapannya di PAU bulan lalu, menegur Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya tidak mengambil masa terlalu lama untuk membubarkan Parlimen.

Isyarat jelas diberikan Zahid kepada Ismail Sabri walaupun secara berlapik memberitahu Naib Presiden UMNO diberikan peluang sehingga sekurang-kurangnya tamat memorandum persefahaman (MoU) dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) pada Julai nanti.

BERITA BERKAIT
POPULAR