
Pembersihan dalaman UMNO sedang berjalan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15,
Pilihan Pelan B yang akan digunakan UMNO sekiranya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan antaranya adalah dengan mengadakan pemilihan parti tersebut, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata terdapat beberapa pilihan dalam Pelan B yang sedang diteliti sekiranya RoS tidak meluluskan permohonan untuk menangguhkan pemilihan parti selain semakan kehakiman dan rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Kita tunggu sehingga awal Ogos, namun kita di peringkat parti sudah buat persiapan. Jika lulus (pindaan perlembagaan UMNO), maka alhamdulillah.
“Jika tidak lulus sekalipun, jadual waktu mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian sudah pun disusun, di mana mesyuarat cawangan akan berlangsung mulai September hingga Oktober dan di peringkat bahagian pula sekitar November diikuti PAU (Perhimpunan Agung UMNO) pada hujung Disember.
“Pada peringkat ini juga, jika ia lulus maka tidak perlu ada agenda pemilihan. Namun jika tidak lulus, kita tidak boleh buat apa-apa kerana ROS mempunyai kuasa penuh.
“Jika nak buat ‘judicial review’ (semakan kehakiman), kita kena rayu kepada Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) terlebih dahulu,” katanya dipetik laporan BH.
Mohamad atau Tok Mat terdahulu hari ini dengan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Perlis di Kangar.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, jika rayuan dilakukan sekalipun, pihaknya tidak boleh menunggu lama untuk melaksanakan pemilihan parti.
“Kalau tunggu lama nanti kita akan ‘tersepit’ kerana edah pegang jawatan dalam parti itu bertahan sehingga penghujung Disember dan jika terlalu lewat nanti, kita tak sempat untuk melakukan pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian dan ia akan menyusahkan kita nanti.
“Kita ikut proses di mana rayuan boleh dibuat kepada pihak menteri dan jika tak boleh juga hendak dapatkan lagi (keputusan RoS), kita akan lakukan pemilihan di peringkat parti dan dalam masa yang sama membuat ‘judicial review’ (semakan kehakiman),” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata RoS dijangka memberi keputusan terhadap notis pindaan perlembagaan UMNO dalam tempoh kurang dari dua minggu lagi, iaitu dijangka awal Ogos.
Ia berdasarkan tujuh maklumat tambahan diberikan parti itu bagi melancarkan proses permohonan berkenaan.
Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Mei lalu sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).
UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.
Jika dihitung, tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.