Jika peratusan pengundi rendah, UMNO menang besar PRN Johor: Wan Saiful

Peratusan pengundi rendah akan mengundang senario sama semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yag menyaksikan kemenangan besar UMNO, kata Bersatu.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata jika pengundi luar tidak pulang menunaikan tanggungjawab mereka berkemungkinan episod sama akan berulang di Johor kali ini dan UMNO akan bersorak gembira.

“Saya tidak percaya dengan pandangan sesetengah pihak bahawa bilangan kes positif Covid-19 sengaja dinaikkan oleh Kementerian Kesihatan untuk menakutkan pengundi.

“Tuduhan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu tidak wajar.

“Tetapi pandangan saya ialah, jika rakyat takut atau tidak peduli untuk keluar mengundi, maka Umno akan bersorak gembira,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Strategi sama akan digunakan UMNO semasa PRN Melaka dengan memastikan pengundi teras mereka keluar mengundi memandangkan kebanyakkannya menetap dalam kawasan tersebut.

“Jika pengundi yang menetap di luar tidak balik mengundi, maka UMNO akan gembira kerana yang menetap di luar kawasan ramai yang menyokong Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH), bukan menyokong UMNO,” katanya.

Wan Saiful membuat perbandingan berdasarkan PRN Melaka yang menyaksikan hanya keseluruhan 65.85 peratus peratus keluar mengundi pada 20 Nov 2021.

Pada PRN itu, BN menyapu bersih 21 daripada 28 kerusi DUN yang ditandinginya.

“Di Melaka itulah yang memenangkan UMNO apabila mereka yang menetap di luar kawasan tidak balik mengundi. Fenomena ini UMNO harap berulang kembali di Johor.

“(Sebab itu) saya menyatakan kebimbangan mengenai kadar keluar pengundi pada pilihan raya negeri akan datang semasa lawatan di DUN Kukup,” tambah Wan Saiful.

Mengambil kira faktor tersebut, Wan Saiful menggesa mereka yang menetap di luar kawasan mereka supaya pulang mengundi.

“Inilah peluang untuk menentukan masa depan Johor. Jangan sia-siakan peluang ini dan pastikan undi anda dapat menghentikan kerakusan dan keangkuhan BN dan Umno,” katanya.

Bersatu, bersama rakan partinya, PAS dijangka bertanding di 40 kerusi DUN.

PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac dengan pencalonan ditetapkan pada 26 Feb.

BERITA BERKAIT
POPULAR