
UMNO mengarahkan semua jentera parti setiap peringkat supaya mengambil langkah bersiap-sedia bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata bila-bila masa sahaja PRU-15 boleh diadakan pada masa terdekat dan jentera parti perlu memberi fokus sepenuhnya untuk memperkemaskan persiapan yang rapi tanpa berlengah-lengah lagi.
“MT (Majlis Tertinggi) juga menggesa agar jentera parti disemua peringkat menumpukan kepada kesiapsiagaan bagi menghadapi PRU-15, bila pun tarikhnya yang akan ditentukan,” katanya dalam sidang media selepas berakhir mesyuarat malam tadi.
Mesyuarat MT berlangsung selama dua jam yang dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Apabila ditanya berhubung tarikh PRU-15, Ahmad atau Mat Maslan tidak menjawab berhubung isu tersebut sebaliknya meminta media merujuk kepada kenyataan media yang diedarkan.
Terdahulu, Zahid dalam catatan Facebooknya memberi bayangan akan membangkitkan keperluan isu PRU-15 perlu disegerakan dengan memberi beberapa sebab utama, antaranya bagi memberi kestabilan politik.
Dalam kenyataan sama, UMNO juga mengumumkan tiada sebarang pemilihan parti akan diadakan selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan partinya baru-baru ini.
Bagaimanapun, UMNO membuat ketetapan untuk mengadakan Perhimpunan Agungnya pada 23 sehingga 26 November nanti.
“Tidak ada pemilihan jawatan dalam Persidangan Cawangan, Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan Perhimpunan Agung; tiada pemilihan jawatan disemua peringkat pada kali ini.
“MT memperakukan kelulusan RoS dengan sedikit pindaan terhadap Perlembagaan UMNO yang berkuatkuasa mulai 29 Julai 2022. MT merakamkan ucapan terima kasih atas kelulusan yang diberikan itu,” katanya lagi.
Berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Ahmad berkata negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) akan membuat pindaan undang-undang tubuh negeri masing-masing bagi memastikan ia dapat dilaksanakan selari di peringkat persekutuan.
“Negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional hendaklah melakukan langkah untuk meminda undang-undang tubuh/enakmen negeri masing-masing setelah Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan larangan lompat parti selesai digazetkan,” katanya lagi.