
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Kerjasama jentera antara UMNO dengan Pakatan Harapan (PH)-DAP semakin serasi sejak berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) minggu lalu, kata Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Setiausaha Agung UMNO itu mendakwa keserasian jentera UMNO bersama PH-DAP itu memberi keyakinan calon-calon kerajaan campuran bakal beroleh kemenangan pada PRN 12 Ogos ini.
“Saya melihat peringkat jentera mereka amat memahaminya dan bila jentera mula berkerjasama dengan akrab inilah yang memungkinkan untuk kita bergerak dengan lebih berkesan di akar umbi.
“Keduanya, saya melihat gelombang peringkat rakyat makin lama makin bertambah, mungkin juga disebabkan oleh siri-siri pendedahan yang dibuat oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan juga orang Melayu kita ini dia akhirnya akan tengok soal adab, akhlak dan bagaimana kita nak pastikan anak-anak kita akan datang dan generasi muda yang memerlukan contoh pemimpin yang baik berintegriti dan penuh dengan akhlak,” katanya dipetik laporan MG.
Asyraf terdahulu mengadakan siri walkabout bersama calon UMNO di Jerlun hari ini.
Hadir sama adalah calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, Hayazi Azizan.
Jelas Asyraf Wajdi lagi, walaupun melihat PH-BN sebagai underdog di Kedah namun ia seumpama uji kaji apabila ia merupakan kerjasama julung kali dibuat oleh kedua-dua gabungan parti berkenaan.
“Kita sentiasa meletakkan diri kita sebagai underdog dan yang paling penting lagi, kita rasa seronok ialah pertama kerjasama yang amat baik sekali antara jentera BN dan jentera PH kerana ini kali pertama kita bekerjasama dalam keadaan di mana ahli-ahli UMNO belum semua yang memahami kenapa kita bekerjasama.
“Mereka ingat kita merencanakan perkara ini sedangkan ini merupakan satu kita tidak pernah gambarkan dalam pemikiran kita tapi yang pentingnya kita bersama dengan parti lain,” katanya lagi.