
Semalam, Lokman dalam wawancara dengan MalaysiaGazette berkata MCA dan MIC mengkhianati UMNO apabila menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada PRU-15 lalu.
Walaupun sebelum ini menjadi seteru, namun jentera siber Pakatan Harapan (PH) kini akan bekerjasama dengan laskar siber yang dipimpin Datuk Lokman Noor Adam untuk melawan Perikatan Nasional (PN) dalam perang media sosial.
Jika sebelum ini Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dianggap musuh kerana ceramahnya yang menyerang PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kempen politik, namun senario tersebut sudah berubah apabila PH sudah berkahwin dengan UMNO.
Dalam program jentera siber kerajaan campuran, Setiausaha Akhbar (SUA) Kanan kepada Perdana Menteri (PMX), Tunku Nashrul Tunku Abaidah meminta semua pihak dalam PH untuk bekerjasama dengan laskar siber yang dipimpin Lokman.
Katanya, ia penting khususnya bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Pesan saya kepada mereka (SUA) ialah untuk lakukan ‘engagement’ dengan laskar siber ini dengan lebih berskala besar kerana kita akan menghadapi PRN di enam negeri selepas ini.
“Tak boleh dah ‘gear low’ ni, kena ‘gear lima’, ‘gear enam’ untuk pastikan inisiatif kerajaan perpaduan dan untuk pastikan enam negeri nanti kita mampu lakukan yang terbaik.
“Saya menjemput abang dan kakak laskar siber semua ini untuk sama-sama membantu kami, membantu saya dengan memberi pandangan, input kalian cukup bermakna,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Tunku Nashrul terdahulu berucap pada Majlis Silaturrahim Laskar Siber Kerajaan Perpaduan di ibu pejabat UMNO, di Kuala Lumpur, malam tadi.
Hadir sama Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Pertemuan ini kali pertama diadakan selepas PH-UMNO membentuk kerajaan campuran.
Gabungan ini memberi tumpuan kepada laskar siber dipercayai selepas melihat sokongan yang diperoleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam usaha menarik sokongan pengundi dengan menggunakan media sosial.