Jentera BN bersemangat menang besar, peruntukan kempen setiap calon sudah turun

Seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berjalan dalam norma baharu susulan Covid-19, jentera Barisan Nasional (BN) di akar umbi semakin bersemangat susulan peruntukan kepada setiap calon yang bertanding sudah turun.

Berbeza dengan permulaan tempoh berkempen pada 8 November lalu yang berjalan dengan agak perlahan, akar umbi BN dibawah yang menggantung bendera dan poster setiap calon semakin agresif dalam aktiviti mereka selepas difahamkan peruntukan yang banyak sudah turun kepada calon bertanding.

Menurut sumber, peruntukan secara berperingkat sudah disalurkan kepada jentera BN dan petugas yang akan membantu setiap calon berkempen dalam norma baharu.

“Peruntukan kewangan kepada setiap calon sudah turun, semua jentera diperingkat akar umbi gembira dan kembali bersemangat.

“Pada awal berkempen, jentera berjalan dengan agak perlahan kerana tiada peruntukan kepada setiap calon tetapi selepas seminggu kempen berjalan, peruntukan tersebut sudah turun secara beransur-ansur,” kata sumber yang bekerja dalam pasukan kempen BN pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, memandangkan kaedah kempen yang baharu kali agak berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini, tentera siber dan pengamal media upahan paling mendapat untung kerana menerima peruntukan yang lebih banyak daripada setiap calon yang sanggup melabur untuk memperkenalkan nama mereka kepada orang ramai.

Platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Tik Tok dan pelbagai lagi yang menjadi kegemaran generasi muda sekarang dimanfaatkan sepenuhnya setiap calon BN dengan mengupah ‘influencer’ atau individu yang berpengaruh bermain media sosial untuk membantu kempen pada PRN kali ini.

Agenda Daily difahamkan, unit media baharu yang mengetuai kempen kali ini, iaitu BN Comm sudah diberikan sejumlah peruntukan yang mencukupi untuk menggerakkan tentera siber mereka bagi menyebarkan maklumat dan propaganda kepada pengundi di Melaka untuk menyokong setiap calon mereka.

Persediaan jentera BN bagi menghadapi PRN Melaka juga lebih teratur dan lebih ramai lagi anggota pakar media sosial dibawa masuk ke dalam BN Comm untuk memastikan gerak kerja berjalan dengan lancar dan pantas.

“Tokoh-tokoh media sosial diambil oleh unit media baharu bagi membantu kempen jentera BN menghadapi PRN Melaka, kali ini lebih ramai berbanding semasa PRN Sabah kerana memerlukan tenaga kerja yang lebih ramai.

“Tenaga kerja dikalangan penggiat media sosial terkenal dengan bayaran yang lumayan terpaksa dikeluarkan ia bagi memastikan setiap maklumat dan propaganda yang ingin disampaikan dapat diterima kepada setiap pengundi di Melaka,” kata sumber lagi.

Dalam pada itu, petugas Agenda Daily di Melaka juga memberitahu semasa masuk sahaja ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menerima pesanan khidmat ringkas (SMS) secara automatik yang akan memperkenalkan calon BN di setiap kawasan.

Selain mesej memperkenalkan calon BN di setiap DUN, terdapat juga SMS yang akan menyerang calon-calon lawan lain seperti memburukkan calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Sebagai contoh, mesej menyerang calon yang melompat sebagai ‘katak’ antara yang kerap kali diterima oleh orang ramai di Melaka ketika ini.

Kaedah penghantaran SMS secara automatik kepada orang ramai antara yang masih digunakan sebagai alat propaganda untuk mempengaruhi orang ramai dalam PRN kali ini.

Sumber Agenda Daily juga memberitahu, kehadiran bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak juga banyak membantu kempen BN di Melaka, malah orang ramai mengetahui beliau kini sudah berduit susulan keputusan mahkamah memulangkan semula wang sitanya, RM114 juta.

Kehadiran Najib juga banyak membantu kerana pasukan media sosial dan tentera sibernya yang lebih kuat dan memiliki sumber kewangan yang kukuh dapat melancarkan strategi yang baik untuk mempengaruhi orang ramai.

Namun, tidak pasti sama ada Najib mengeluarkan peruntukan kepada jentera media sosial BN atau pun tidak kerana Pengarah Pilihan Raya PRN Melaka adalah Datuk Seri Mohamad Hasan, sepatutnya beliau yang mencari peruntukan untuk jentera BN pada PRN kali ini.

Namun, kemeriahan berkempen secara fizikal seperti kebiasaannya tidak lagi dirasai dalam PRN Melaka tetapi ia diganti dengan peperangan dalam talian apabila setiap parti bertanding lebih banyak beralih kepada pendekatan berkempen yang tertumpu kepada e-poster dan juga video-video pendek.

Peranan dan tanggungjawab pengamal media juga bertambah pada PRN kali ini apabila bahan laporan terpaksa dicari dengan kreatif dan tidak boleh lagi mengharapkan lagi bahan secara fizikal seperti kebiasaannya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri UMNO Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

SPR pada 8 Nov lepas melarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka diadakan sepanjang tempoh PRN Melaka.

BERITA BERKAIT
POPULAR