
UMNO dilaporkan menuntut jawatan Menteri Besar (MB) Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, menurut Utusan Malaysia.
Dalam sebuah artikel ditulis Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mashitah Mohd. Udin berkata, UMNO perlu mengisytiharkan jawatan MB Terengganu bagi mencerahkan peluang parti itu menang pada PRN nanti.
“Lebih elok lagi jika calon Menteri Besar Terengganu awal-awal lagi dapat diumumkan dari UMNO-BN (Barisan Nasional). Ini wajar dibuat bagi mencerahkan peluang BN-PH (Pakatan Harapan) untuk menang di negeri itu.
“Sebagai timbal balasnya, eloklah juga UMNO-BN menerima status quo di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta tidak menuntut banyak kerusi di negeri-negeri berkenaan,” katanya.
Jelasnya, UMNO Terengganu wajar diberikan jawatan utama tersebut memandangkan prestasi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang berjaya menyaingi PAS dan menang di beberapa kerusi.
“Jika dilihat dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018, calon-calon PH tidak menang walau satu kerusi pun baik Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.
“Yang menang ialah PAS (6 Parlimen, 22 DUN) manakala UMNO melalui Barisan Nasional (BN) dua kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN,” ujarnya.
Selain itu, UMNO juga menang dua kerusi Parlimen iaitu Besut dan Hulu Terengganu.
Untuk rekod, 10 kerusi DUN yang UMNO menang pula Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemung, Bukit Besi dan Kijal.
Daripada 22 kerusi DUN yang UMNO menang ini pula, 10 dimenangi dengan majoriti kecil, iaitu Ajil (4 undi), Jabi (55), Ladang (363), Pengkalan Berangan (490), Air Putih (746), Kuala Berang (1,070), Kota Putera (1,181), Bandar (2,091), Kemasik (2,164) dan Bukit Tunggal (2,344).
Calon-calon PH pula sentiasa mendapat undi tercorot dengan majoriti hilang wang deposit. Peratusan undi calon-calon PH ini ialah 2.4% (422) di Manir, 2.5% (455) di Telemung, 2.8% (729) di Ru Rendang, 3.2% (583) di Langkap, 3.3% (679) di Ajil, 3.3% (800) di Batu Rakit, 3.4% (487) di Bukit Besi, 3.4% (690) di Jabi, 3.6% (853) di Permaisuri dan 3.8% (939) di Rantau Abang.
Terdahulu, media melaporkan baru-baru ini jentera UMNO Terengganu masih tidak serasi dengan jentera PH dan ia dijangka memberi kesan besar semasa kempen PRN nanti.