
Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Sepatutnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjawab terlebih dahulu berhubung surat akuan berkanun (SD) Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri (PM).
Ketua Armada Bersatu, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membidas Presiden UMNO itu yang disifatkan suka menyibuk dalam isu lain tetapi diri sendiri masih tidak menjawab pendedahan berhubung SD menyokong cikgunya menjadi PM yang didedahkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
“Jangan berdolak-dalik lagi Zahid, jawablah Tajuddin dengan segera supaya masyarakat, terutamanya ahli UMNO dapat jawapan sebenar.
“Jawab yang itu dulu, sebelum nak sibuk urusan MPN (Majlis Pemulihan Negara). Bubar atau tidak, itu tak ada kena-mengena dengan kamu. Itu urusan kerajaan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Ketua Pembangkang mendedahkan beliau gagal menjadi PM selepas mendakwa menolak permintaan untuk mencampuri urusan mahkamah, terutama membabitkan bekas PM Datuk Seri Najib Razak, selain menamakan anak muridnya turut menandatangani SD menyokongnya.
Selepas dipecat sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO pada Jumaat lalu, Tajuddin semasa sidang media khas pada Isnin mendakwa Zahid sebenarnya mengetuai gerakan menandatangani SD bagi menyokong Anwar sebagai PM.
Tajuddin berkata walaupun, pemimpin UMNO melaung-laungkan “No DAP, No Anwar” sebaliknya mereka menandatangani SD menyokong Anwar menjadi PM tahun lalu.
Tajuddin juga mengakui beliau adalah salah seorang yang diminta menandatangani SD kerjasama Zahid dan Anwar.
Tajuddin itu berkata terpaksa akur pada arahan dan menandatangani SD itu selepas bermasam muka dengan Zahid kerana tidak menyokong Anwar.