
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menunaikan janji yang sudah dipersetujuinya sebelum ini berhubung isu jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), kata Dr Muhammad Faiz Na’aman.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata isu yang dibangkitkan ketika ini bukan berkenaan tuntutan jawatan tersebut, ia sebaliknya menyentuh kejujuran Ismail Sabri kerana sokongan yang diberikan kepadanya sebagai PM sebelum ini bersyarat.
“Memorandum Perjanjian (MoA) itu adalah persetujuan. Jika sudah bersetuju, maka wajar direalisasikan. Itu lazimnya.
“Tiada siapa daripada kami (Perikatan Nasional) yang ugut, paksa atau mahu ajar Perdana Menteri dalam perihal Kabinetnya. Jangan jadi batu api, sedangkan kalianlah yang tekan beliau guna MT (Majlis Tertinggi) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU),” katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebooknya hari ini.
Terdahulu, tular dalam media sosial ketika ini dokumen berhubung perjanjian yang dimerterai antara Ismail Sabri dengan Bersatu dan PAS.
Dokumen yang tular dalam platform media sosial Facebook mengesahkan terdapat terma berhubung jawatan TPM, disamping perlu mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.
“Pihak-pihak bersetuju jawatan Timbalan Perdana Menteri diserahkan kepada Ahli Parlimen yang ditetapkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), manakala jumlah anggota Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri yang diperuntukkan kepada parti-parti dikekalkan.
“Hanya perubahan portfolio akan ditentukan melalui perbincangan bersama,” menurut dokumen yang tular tersebut.
Ia sekaligus membuktikan kenyataan mantan PM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu sebelum ini berhubung kewujudan perjanjian tersebut adalah sahih, ia walaupun terdapat pihak-pihak yang cuba mempertikaikannya.
Perjanjian tersebut juga ditandatangani dua saksi iaitu Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa.
Selain perjanjian untuk melantik TPM, turut dipersetujui adalah berhubung isu pembubaran Parlimen.
“Perdana Menteri yang baharu dilantik juga hendaklah memberikan akujanji akan mengadakan rundingan dan mencapai suatu persefahaman dengan pihak-pihak sebelum menentukan tarikh pembubaran Parlimen ke-14 yang akan diadakan selewat-lewatnya pada bulan Julai 2022 atau mana-mana tarikh yang dipersetujui bersama,” menurut dokumen itu lagi.
Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan pula dilapor mengesahkan perjanjian berkenaan tidak dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Ia juga tidak dibincangkan oleh Biro Politik parti itu mahupun dalam kalangan pemimpin lima jawatan tertinggi atau ‘Top Five’ UMNO.