
Ketua Penerangan Bersatu Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya menunaikan janjinya dengan Perikatan Nasional (PN) kerana sokongan yang diberikan kepadanya untuk berada di jawatan tersebut, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ketua Penerangan Bersatu itu mempertikaikan Ismail Sabri yang boleh menunaikan janjinya dengan pembangkang tetapi tidak pula menunaikan janji dengan pihak yang menyokongnya sehingga dilantik menjadi PM sebelum ini.
“Kita menuntut supaya Perdana Menteri menunjukkan sedikit rasa hormat kepada blok yang menyokong beliau.
“Beliau (Ismail Sabri) boleh memenuhi janji dan menghormati pembangkang di sebelah Pakatan Harapan (PH), (namun) kenapa tidak ada hormat kepada kita dalam Perikatan Nasional, blok terbesar dalam Parlimen yang menyokong dan naikkan beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya dipetik laporan BH.
Wan Saiful terdahulu menghadiri Program Sihat di Tasik Darul Aman Jitra.
Terdahulu, Wan Saiful membangkitkan isu berhubung pertemuan Ismail Sabri dengan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dibatalkan pada saat akhir.
Dalam perkembangan berasingan, Wan Saiful berharap pemimpin nombor satu negara itu tidak menggadaikan prinsip yang dipegang sebelum ini dalam melakukan reformasi membanteras rasuah dan kleptokrasi.
Beliau mengakui kecewa dengan kenyataan terbuka Ismail Sabri pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor pada minggu lalu, mengenai pelantikan Pengerusi BN negeri, Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Dalam konvensyen itu, Perdana Menteri secara terbuka nyatakan pelantikan itu dibuat untuk berikan ‘minyak’ kepada jentera UMNO dan BN.
“Ini timbulkan persoalan mengenai integriti, kredibiliti dan amanah beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Wan Saiful juga berpendapat, kenyataan dibuat Ismail Sabri itu mengejutkan dan menimbulkan persoalan sama ada beliau masih ada komitmen kepada reformasi institusi dan memastikan usaha memerangi rasuah dapat diteruskan.
“Ini ditambah ucapan Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dalam konvensyen sama yang menyatakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, akan membawa ‘gula’ kepada jentera sama.
“(Jadi) kita bimbang jika zaman kleptokrasi, rasuah, kronisme dan nepotisme dipelopori UMNO serta BN akan kembali,” katanya.