Jangan tunduk dengan Zahid adakan PRU awal, gesa MP DAP kepada Ismail Sabri

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri digesa supaya tidak tunduk dengan desakan bos UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) lebih awal.

Gesaan tersebut dinyatakan seorang Ahli Parlimen DAP, Anthony Loke menyarankan supaya Naib Presiden UMNO itu bertegas dengan pendiriannya dan tidak mengendahkan sebarang tekanan yang bakal dihadapinya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Jelas Loke, mengambil kira keadaan sekarang ia bukan masa yang sesuai untuk PRU diadakan memandangkan isu kesempitan hidup rakyat selepas Covid-19 dan keadaan ekonomi yang sedang dalam proses pemulihan.

“Pokoknya sekarang bukan masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya.

“Saya nak cadangkan kepada Bera (Ismail Sabri) supaya jangan tunduk kepada tekanan Bagan Datuk (Zahid).

“Kita tau Bagan Datuk akan tekan… minggu depan akan tekan (supaya) buat PRU, bubar Parlimen,” katanya semasa perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Loke, keutamaan perlu diberikan kerajaan untuk menumpukan usaha menangani isu berkaitan rakyat.

Tambahan pula katanya ketika ini PH dan kerajaan mengikat Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada pertengahan Sept tahun lalu dan sah sehingga 31 Julai ini.

Kata Loke, kerjasama itu boleh diteruskan lagi melalui MoU kedua sehingga penggal Parlimen tamat pada 2023.

“Sementara waktu ini Covid-19 belum reda, kita tangguh dulu pilihan raya… mungkin sehingga akhir tempoh Parlimen ini,” katanya.

Terdahulu, bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membidas kenyataan Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendesak PRU diadakan segera.

Apa yang menarik ialah kenyataan Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak itu dibuat juga ketika sesi perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat baru-baru in.

Untuk rekod Mohamad atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat Hasan’ bukan Ahli Parlimen sebaliknya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Negeri Sembilan.

Dalam perbahasan itu, Tajuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO melahirkan kekesalan kerana Mohamad dilihatnya seolah-olah memberi kata dua berhubung PRU itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR