Jangan perjudi nasib pilih ‘scammer’, penipu, kata Ketua Pemuda PN

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ir Khairil Nizam Khirudin, mengingatkan pengundi yang akan memilih pemimpin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan, supaya jangan tersilap memberi undi kepada golongan perasuah.

Mengaitkan bulan Rejab sekarang ini dengan Peristiwa Israk dan Mikraj beliau berkata Rasulullah SAW diberikan susu dan arak oleh malaikat Jibrail, tetapi baginda memilih susu dan dijawab pada waktu itu, “inilah fitrah manusia yang tidak mengambil arak”.

“Kerana fitrah manusia mengambil perkara yang halal. Duit rasuah, duit penyalahgunaan kuasa, adalah duit haram. Kesalahan mengambil rasuah adalah kesalahan yang tak betul dan ini bukan saya yang cakap bukan kata Wan (Datuk Wan Saiful Wan Jan) yang cakap bukan Tan Sri (Muhyiddin Yassin) yang cakap, tapi yang cakap mahkamah.

“Kalau Rasulullah mengambil susu sebagai fitrah mengambil benda yang betul. Kenapa kita memperjudikan nasib negara memberikan sekali lagi kepada mereka yang terpalit dengan mahkamah dan juga kes rasuah?,” soal beliau pada syarahan di Pentas PN DUN Bukit Kepong, Tangkak, malam tadi.

Memetik sejarah, beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata bangsa Johor terkenal dengan kelembutannya, memegang nilai budaya ketimuran dan memiliki identiti yang berbeza dengan orang Melayu yang lain.

Malah, Khairil Nizam berkata bangsa Johor pernah dahulunya berjiran dengan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-14 dan ke-15 yang menguruskan salah satu pelabuhan tersibuk di dunia.

“Yang menguruskannya adalah orang Melayu pada abad ke-14 dan ke-15. Tok, nenek kita yang menguruskan pelabuhan ini. Menunjukkan orang Melayu boleh mengurus dengan baik.

“Tapi kenapa kita mengambil kesempatan pada PRU Ke-14 untuk memberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH). Kenapa kita memperjudikan nasib agama, bangsa? Yang akhirnya kita dihukum oleh PH selama 22 bulan mereka memimpin?

“Mujurlah pada waktu itu ada pemimpin-pemimpin Melayu Islam yang bersatu di bawah satu bumbung yang dinamakan sebagai Perikatan Nasional. Dengan kita menjatuhkan kerajaan tersebut menggunakan pintu istana secara demokrasi,” katanya lagi.

Menurutnya, apabila Kerajaan PN memimpin, sejarah membuktikan angka keramat kepada anak-anak Felda sama ada generasi pertama, kedua atau ketiga adalah RM8.3 bilion hutang peneroka Felda yang dimansuhkan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada sahabat-sahabat saya, tuan-tuan dan puan-puan. Kalau kita masih lagi mahu memperjudikan nasib kita. Tuan-tuan dan puan-puan kena ingat pilihan raya ini berlaku lima tahun sekali.

“Kalaulah pada 12 hari bulan nanti kita memberikan undi kerana kita percaya kepada penipuan-penipuan scammers terbesar di Malaysia… saya rasa bapa scammers Malaysia semua orang tahu… yang setiap hari meratib kerajaan gagal, kerajaan gagal, kerajaan gagal sekarang semua senyap.

“Kalau kita masih lagi percaya kepada mereka-mereka ini tuan-tuan cuba bayangkan nasib anak-anak kita yang akan duduk lima tahun lagi. Kalau tuan-tuan tidak sayang kepada nasib tuan-tuan dan puan-puan tak apa. Nasib kami anak muda yang akan menderita selama lima tahun.

“Kerana kita memberikan kepimpinan ini kepada mereka-mereka yang terbukti ada kaitan dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Sambil menyatakan peneman setia PAS sekarang ini adalah Bersatu dan GERAKAN, Khairil Nizam berkata tema PN pada PRN Johor adalah prihatin, manakala asasnya pula adalah integriti.

“Itulah janji-janji yang kami akan berikan kepada pemimpin-pemimpin yang akan kami jadikan calon bagi mewakili Perikatan Nasional pada PRN nanti,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR