
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin melihat suara Datuk Seri Najib Razak dalam parti itu masih kuat walaupun bekas Perdana Menteri itu kini dipenjarakan.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memberi peringatan bahawa ‘suara dari penjara’ masih berpengaruh dan kuat dalam menentukan masa depan parti berkenaan.
Beliau yang juga dikenali sebagai KJ, melihat bahawa ramai dalam kalangan pemimpin UMNO, termasuk yang menganggotai Majlis Tertinggi (MT) adalah kumpulan yang sinonim dengan fenomena ‘Boosku’.
Menurutnya walaupun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai presiden, kekuatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh diketepikan kerana kalangan penyokong tegarnya wujud dalam MT.
“Datuk Ahmad Zahid memang kuat, tetapi kalau kita tengok dengan teliti dan sebagai contoh, barisan baharu dalam MT saya nampak ramai mereka sebenarnya kalangan penyokong tegar Bossku, Datuk Seri Najib Razak.
“Macam saya katakan tadi jangan pandang ringan, suara di belakang (di penjara), suara yang ada sekarang ini dan pengaruh suara itu menentukan masa depan UMNO,” katanya dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sifian Hamdan.
Bekas Ahli Parlimen Rembau yang dipecat daripada UMNO itu berkata, cerita mengenai ‘Bossku’ belum tamat.
“Saya rasa pendengar (podcast) ingin tahu tentang perancangan Bossku, tetapi yang boleh saya katakan, ia belum selesai lagi.
“Saya nak sebut dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ mengenai pandangan saya dan pendengar pun tahu pandangan saya selepas kekalahan 2018 (PRU14) berkenaan Bossku, tetapi saya katakan, Bossku masih menjadi kekuatan yang perlu diambil kira,” katanya menurut BH.
Sambil itu, Khairy menamakan Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil adalah bekas pegawai khas Najib dan Datuk Johan Abdul Aziz yang kalah di Parlimen Hulu Langat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.
“Mereka ini antara muka baharu MT dan mereka adalah penyokong Najib,” katanya.
Khairy dipecat yang daripada UMNO pada Januari lalu, berkata, sementara Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta pada 2020 selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan yang disabitkan terhadapnya atas penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Sabitan beliau dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Disember 2021 dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan Ogos lalu. Beliau kini sedang menjalani hukuman di penjara Kajang.
Bagaimanapun, Khairy berkata Najib kekal sebagai pemimpin popular dan menyatakan banyak mesej terima kasih ditujukan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu minggu lalu apabila laluan MRT Putrajaya yang dicadangkan Najib ketika berkuasa beroperasi sepenuhnya pada 16 Mac lalu.