
Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengulangi gesaan supaya bangsa Johor menjadi ‘guru’ kepada negeri-negeri lain dalam berpolitik, dengan menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Mac depan.
Menurutnya bangsa Johor perlu memilih parti yang mampu memerintah dengan penuh berintegriti tanpa terpalit dengan sebarang isu rasuah, politik wang dan salah guna kuasa.
“Johor perlu menjadi ‘guru’ kepada negeri lain dalam berpolitik, dengan memilih sebuah parti yang mampu memerintah dengan penuh berintegriti tanpa terpalit sebarang isu rasuah, politik wang dan salah guna kuasa.
“PRN Sabah yang lalu merupakan contoh terbaik untuk diteladani oleh rakyat Johor dalam memilih parti yang mampu mengemudi kerajaan dengan baik.
“Jadikan PRN Johor ini sebagai tempat untuk memilih pemimpin yang mampu mengemudi kerajaan Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam ceramah di Kota Tinggi malam kelmarin Ahli Parlimen Marang itu berkata rakyat menolak BN pada Pilihan Raya Umum 2018 lalu kerana salah laku yang memalukan bangsa dan umat Islam.
“Bila berlakunya wabak politik wang. Beberapa orang rasuah. Alhamdulillah beberapa pimpinan UMNO keluar daripada UMNO termasuk bekas perdana menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) keluar daripada UMNO dan tubuh parti Bersatu.
“Saya beritahu… PAS diajak sama untuk lawan UMNO… kita tolak kerana masa itu ada PKR, ada DAP. Ada PAN dalam Pakatan Harapan (PH) ini? PAS tak mau ikut. PAS baru saja berpisah dengan DAP… satu parti yang ekstrem… yang terang-terang anti-Islam. Anti-Melayu, anti raja-raja.
“Menang PH… rakyat tolak Barisan Nasional kerana salah laku yang malu saya nak sebut… memalukan bangsa kita… memalukan umat kita. Islam tak ajar macam tu,” kata Abdul Hadi.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mencabar bangsa Johor supaya melakukan perubahan sebagaimana berjaya dibuat oleh rakyat Sabah.
Tak boleh buat malu orang Johor jika orang Sabah mampu melakukan perubahan dengan memberi kemenangan kepada PN, katanya.
Sebelum ini, beberapa pemimpin utama UMNO, termasuk presiden parti itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, didakwa di mahkamah atas puluhan tuduhan jenayah, termasuk rasuan, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Malah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib sendiri telah bersalah dalam kes SRC International melibatkan RM42 juta, dan dijatuhi hukuman penjara serta denda, dengan Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman itu.
Sementara Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula memerintahkan Zahid membela diri dalam kes Yayasan Akalbudi, setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facies.