
Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menggesa supaya Barisan Nasional (BN) tidak menghukum mereka yang setia kepada parti hanya kerana bercakap soal kebenaran dan prinsip.
Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya yang digantung keahlian selama enam tahun itu meminta parti agar bertimbang rasa dan memberi keadilan dalam kesnya memandangkan selama ini beliau setia kepada parti tetapi kerana matlamat peribadi pihak tertentu beliau menjadi mangsa.
“Kesetiaan juga penting kerana selepas mengharungi 22 bulan penuh kesengsaraan di bawah kerajaan Pakatan Harapan, 17 bulan kesukaran memerangi pandemik Covid-19 dan mengharungi kekacauan politik, hanya yang setia dan cekal sahaja akan kekal bersama parti.
“Untuk meneruskan dan mempertahan prinsip-prinsip perjuangan parti. Yang tidak setia sudah hilang ke mana-mana,” katanya selepas Konvensyen BN baru-baru ini.
Sempena ulang tahun BN baru-baru ini, Tun Faisal berharap prinsip keadilan juga ditegakkan parti dan tidak menjadikan parti digunakan untuk tujuan peribadi individu tertentu.
“BN bukan parti sempurna. Sudah tentu ada kelemahan di sana sini dan dalam kalangan pemimpin tertentu.
“Dalam kes saya, saya sendiri telah dihukum secara tidak adil oleh pihak tertentu. Tetapi soal peribadi harus dibezakan dari soal parti dan dasarnya. Saya tetap menjunjung prinsip kesetiaan ini selagi prinsip dan dasar parti kekal.
“Biarpun telah dihukum secara tidak adil, kesetiaan saya kepada parti dan perjuangan tidak tergugat,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, penentangan yang dilakukannya adalah disebabkan pemimpin tertentu yang melanggar prinsip dan dasar parti, ia bukan bersifat peribadi semata-mata.
“Bagi saya, penentangan saya terhadap pemimpin tertentu adalah ketika prinsip dan dasar parti dilanggar, dan ia bukan penentangan terhadap batang tubuh dan bersifat peribadi.
“Selepas semuanya selesai dan prinsip-prinsip serta dasar ini dipegang kembali, saya sudah tiada sebab menentang mereka lagi.
“Bagi saya ini bukan soal peribadi, tetapi hanya berkaitan prinsip dan dasar parti. Yang baik untuk perjuangan dan parti, InsyaAllah saya boleh sokong dan dukung sepenuh hati,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Tun Faisal juga berkata terbukti dibawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, negara berjaya mengecapi kejayaan dan proses pemulihan juga berjalan lancar serta baik.
“Tema Kestabilan dan Kesetiaan kena pada ketikanya, kerana di bawah kepimpinan Ismail Sabri kestabilan politik dicapai melalui permuafakatan politik yang belum pernah berlaku sepanjang 65 tahun kemerdekaan negara dan melaluinya negara dapat dibawa keluar ke fasa peralihan endemik dan pemulihan sosial dan ekonomi,” katanya lagi.