
Khairy Jamaluddin dipecat UMNO ekoran pertembungan dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
UMNO tidak wajar menyekat demokrasi dalam parti dengan tidak membenarkan pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu mempersoalkan langkah pemimpin akar umbi yang mendesak supaya pemilihan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan yang bakal diadakan nanti.
“Presiden sendiri memberitahu beliau bersedia bertanding kerusi Presiden, jangan ada yang cuba menutup demokrasi dalam UMNO,” katanya melalui satu hantaran di Instagram.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu memberi amaran kepada ‘tangan ghaib’ dalam UMNO supaya tidak lagi menutup ruang demokrasi dalam parti.
Terdahulu melalui muat naik berasingan, Khairy menyuarakan keyakinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seorang ‘pejuang’ dan Presiden UMNO itu tidak akan sesekali gentar untuk menghadapi saingan sekiranya kedudukannya sebagai pemimpin nombor satu parti dalam pemilihan.
Dalam pada itu, Khairy menyuarakan rasa hormat terhadap Zahid kerana sedia bertanding dalam pemilihan UMNO dan menyifatkan sebarang usaha menutup demokrasi dalam UMNO sebagai bertentangan dengan dengan keberanian Presiden parti itu sendiri yang sedia berdepan dengan sebarang tentangan untuk kerusi presiden.
“Buka semua jawatan untuk dipertandingkan,” katanya lagi.
Malam tadi, 140 ketua UMNO bahagian menyokong agar dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang kononnya sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN).
Pengerusi Solidariti Ketua-Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah, berkata parti masih memerlukan solidariti semua pihak bagi menyokong kepemimpinan Zahid.