Jangan bersekongkol dengan pihak memalukan negara: PN Johor

Perikatan Nasional (PN) Johor menyifatkan individu yang meninggalkan perjuangan gabungan itu untuk menyertai pihak lawan, terutamaUMNO, sebagai bersekongkol menggadai maruah membantu pihak yang merosakkan politik dan memalukan negara.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri menasihatkan ahli dan barisan kepemimpinan semua peringkat supaya tidak berpaling tadah semata-mata kerana hal remeh, termasuk tidak berpuas hati jika tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

“Adalah suatu yang merugikan jika seseorang ahli keluar parti kerana hal remeh sedangkan mereka sebenarnya bersekongkol dan tanpa disedari menggadai maruah untuk menjadi sebahagian daripada pihak yang telah merosakkan sejarah politik negara serta memalukan Malaysia di seluruh dunia.

“Musuh sebenar yang dihadapi PN bukan sahaja parti lawan bahkan sifat-sifat buruk yang sebati dalam diri pemimpin UMNO yang ternyata telah merosakkan sistem masyarakat, tadbir urus serta maruah negara.

“Justeru, PN berharap jangan ada ahli dan pemimpin parti ini terpedaya dengan apa juga bentuk imbuhan keduniaan yang ditawarkan oleh kumpulan pecah integriti ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang itu berkata setiap ahli PN adalah pejuang yang mahu prinsip dan disiplin perjuangan ditunjukkan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, diteruskan bagi memastikan pembaharuan landskap politik serta pentadbiran negara lebih baik menjadi realiti demi kesejahteraan rakyat mahupun kemajuan negara.

“Mereka juga jangan mudah terpengaruh dakyah yang tersebar konon ada ahli Bersatu keluar parti kerana itu semata-mata cubaan permainan parti lawan untuk mengelirukan kita.

“Ahli-ahli sebaliknya perlu melihat perkembangan apabila semakin ramai kelompok atas pagar, pengundi baharu dan Undi 18 menerima prinsip perjuangan berintegriti yang menjadi nilai teras kepada politik, tadbir urus serta semua urusan lain di seluruh dunia sekarang.

Mohd Solihan berkata PN semakin mendapat sokongan dan kepercayaan kumpulan atas pagar serta pengundi baharu dan Undi 18 kerana menyakini prinsip perjuangan parti diterajui Muhyiddin yang berteraskan integriti serta sistem nilai, mampu membawa pembaharuan dalam era kemajuan ini kepada negara.

Menurutnya, sokongan dan sikap itu dizahirkan apabila mereka menjadi sebahagian audian yang menghadiri ceramah Siri Jelajah Penerangan Isu Semasa Negeri Johor di peringkat Dewan Undang Negeri (DUN) serta Parlimen serta pelbagai program sejak kebelakangan ini.

“Terkini, pejabat bahagian Bersatu turut menerima banyak borang permohonan daripada ketiga-tiga kumpulan itu untuk menyertai parti manakala yang lain tampil menyatakan sokongan kepada Bersatu serta PN pada PRN Johor akan datang,” katanya.

Beliau juga memaklumkan PN menerima banyak maklum balas termasuk keluhan rakyat yang mengalami kebosanan dan kelesuan politik berikutan tindak-tanduk pemimpin UMNO tertentu sehingga mereka begitu bertekad mahu menamatkan era kerajaan parti tersebut.

Solihan berharap ahli parti dan seluruh Bangsa Johor untuk menyokong PN yang sedang menerajui proses ini bagi membawa Johor menuju kehidupan era kemajuan yang gemilang, harmoni dan makmur.

BERITA BERKAIT
POPULAR