Jalankan pemilihan parti singkir Zahid dan letak Hishammuddin calon PM

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menggesa supaya pemilihan parti dijalankan juga tahun ini untuk meletakkan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai calon Perdana Menteri (PM) mewakili UMNO dalam pilihan raya umum nanti.

Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata Hishammuddin perlu bertanding untuk merebut jawatan Presiden dan yakin beliau akan mendapat sokongan akar umbi memandangkan pengalaman luas dan kelayakannya sepanjang berada dalam pentas politik mahu pun kerajaan.

“Saya hendak Datuk Hishammuddin bertanding jawatan presiden UMNO dan Insya-Allah jadi presiden… Menjawab soalan di bawah, katakan kalau UMNO menang siapa layak jadi PM, adalah Hishamuddin.

“Beliau dalam UMNO jadi Ketua Pemuda UMNO selama 10 tahun, kemudiaan beliau pernah jadi Naib Presiden UMNO selama dua penggal dan jadi menteri sejak 1999 dan beliau punyai pengalaman yang banyak… Mula-mula menteri belia dan sukan kemudian menteri pelajaran, kemudian menteri dalam negeri, menteri pertahanan lepas itu menteri luar… Jadi pengalamannya luas dan memang layak jadi presiden UMNO dan PM,” katanya kepada Agenda Daily.

Justeru, besar harapannya supaya Hishammuddin bertanding jawatan presiden pada pemilihan UMNO tahun ini bagi membolehkan perkara itu direalisasikan.

“Saya punya pandangan kali ini sudah sampai masa hendak buat pemilihan UMNO bila nak buat pemilihan UMNO insya-Allah akan diadakan tahun ini, maka kita hendak seorang individu UMNO yang kita boleh ketengahkan sebagai calon PM.

“Oleh kerana amalan kita presiden UMNO kalau kita menang pilihan raya layak jadi PM jadi saya mencadangkan daripada nama-nama yang ada hari ini yang ditonjolkan ada pengalaman banyak dalam parti dan kerajaan… Dan memang ada sokongan dia sebab itu layak kita ketengahkan Hishammuddin sebagai presiden UMNO,” katanya.

Difahamkan UMNO dijangka mengadakan pemilihan pada hujung tahun ini dan bukannya Jun. Bagaimanapun, penularan Covid-19 mungkin dijadikan alasan untuk menangguhkan pemilihan parti walaupun wujud desakan daripada pemimpin UMNO supaya ia disegerakan.

UMNO sebelum ini dikenali sebagai sebuah parti dominan dan secara tradisinya presiden UMNO akan menjadi perdana menteri.

Namun sehingga hari ini UMNO masih belum mencadangkan nama calon perdana menteri daripada parti itu.

Jawatan Presiden yang disandang Datuk Seri Ahmad Zahid ketika ini menjadi rebutan beberapa pimpinan lain, antara yang disebut-sebut menyertai perlumbaan untuk merebut jawatan Presiden adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, pembaharuan dalam barisan kepimpinan masih tidak boleh dibuat sekiranya Zahid masih ingin mengekalkan kuasa sehingga pemilihan diadakan nanti.

BERITA BERKAIT
POPULAR